'Enough is enough' - Ahmad Murad gesa akta khusus lindungi asal usul Melayu

Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
A
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempersoalkan asal usul orang Melayu sebagai satu kesalahan jenayah.

Pandangan itu disuarakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual dari Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau berkata, negara kini diancam dengan 'Melayu phobia' dan menggesa supaya mana-mana individu atau pihak yang secara khusus mempersoalkan asal usul pribumi Melayu di negara ini diharamkan.

Menurutnya, Akta Hasutan tidak mencukupi untuk menangani isu berkenaan.

"Negara diancam dengan Melayu phobia. Negara memerlukan satu akta khusus yang memperuntukkan sesiapa yang mempersoalkan asal usul orang Melayu sebagai satu kesalahan jenayah.

"Haramkan sesiapa sahaja atau mana-mana pihak yang secara khusus mempersoalkan asal usul pribumi Melayu di negara ini. Akta Hasutan tidak cukup. Enough is enough," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Murad turut menggesa media dan portal berita supaya tidak ghairah melaporkan atau mengulas cerita palsu mengenai asal usul dan keberadaan orang Melayu di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan sedemikian wajar dipersoalkan sama ada tidak tertakluk kepada kesalahan berkaitan berita palsu atau paparan yang tidak betul.

"Media dan portal berita jangan ghairah melaporkan dan mengulas cerita palsu mengenai asal usul dan keberadaan Melayu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Apakah itu tidak tertakluk kepada retorik kesalahan berita palsu (fake news) atau paparan yang tidak betul (misrepresentation)?

"Mempersoalkan asal usul Melayu di Malaysia perlu dikawal oleh undang-undang khusus," katanya.

Beliau berkata, tiada negara di dunia yang mana warga negara lain menampilkan prasangka lalu menghina pribumi negara itu, kecuali di beberapa buah negara Barat dan Asia.

Menurutnya, di Malaysia, keadaan itu telah menjadi satu bentuk 'Melayu phobia' apabila pribumi Melayu dinafikan hakikat asal usul mereka.

"Penghinaan dan ungkapan kebencian seperti itu tidak boleh diteruskan atas nama kebebasan ekspresi, kebebasan akhbar atau kebebasan akademik.

"Orang Melayu di Malaysia adalah pribumi geografi dan sejarah Kepulauan Melayu sejak azali.

"Apa hak orang lain mempersoalkan hakikat itu? Hentikan dakwaan palsu itu. Enough is enough brother," tambah beliau.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!