Suria juara berganda pertandingan memancing di Lumut

LUMUT – Rezeki memihak kepada Suria Mat Sahar, 47, apabila muncul juara berganda dalam pertandingan memancing sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia yang berlangsung di Pantai Lumut Waterfront di sini pada Sabtu.
Suria, dari Selangor menewaskan hampir 300 peserta selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 3.020 kilogram (kg) pada jam 10.38 pagi.
Pengurus di DRB-HICOM itu membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, sekali gus muncul juara pertandingan anjuran Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (MUPSAC).
Tempat kedua dimenangi Mohammad Nasrul Fazwan, 30, dari Terengganu menerusi tangkapan ikan belukang seberat 0.945kg yang melayakkannya menerima RM1,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Muhammad Norman Mansor, 47, juga dari Terengganu selepas menaikkan ikan semilang seberat 0.930kg, sekali gus membawa pulang RM500.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Projek MUPSAC, Rozaini Kamarudin.
Suria berkata, kejayaan itu cukup bermakna selepas lebih empat tahun aktif menyertai pertandingan memancing kategori pantai tanpa pernah meraih gelaran juara.
Katanya, pencapaian terbaiknya sebelum ini ialah muncul naib juara dalam satu pertandingan di Perlis pada Januari lalu.
“Alhamdulillah, kali ini rezeki berpihak kepada saya apabila umpan perumpun sarang yang digunakan disambar ikan belukang sehingga berjaya memintas tangkapan peserta lain.

“Lebih menggembirakan, saya turut muncul juara pertandingan malam yang diadakan di lokasi sama pada malam sebelumnya dengan membawa pulang hadiah RM1,000. Memang tidak sangka dapat muncul juara berganda di Lumut,” katanya.
Sementara itu, Rozaini berkata, MUPSAC akan meneruskan penganjuran pertandingan memancing di Tasik Seksyen 7, Shah Alam pada 20 September depan.
Menurutnya, pihaknya turut merancang menganjurkan satu lagi pertandingan memancing pantai di Pantai Seri Menanti, Muar pada November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
