Ucapan Sanusi lebih kepada kecintaan tanah air, bukan timbulkan kebencian - Annuar

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengandungi unsur yang mengguris hati kaum lain adalah tidak berasas kerana ia telah diambil di luar konteks.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, ucapan penuh Menteri Besar Kedah itu tidak menyentuh soal kesetiaan, kerakyatan atau kewarganegaraan mana-mana kaum, sebaliknya adalah memberi penekanan kepada kepentingan perpaduan orang Melayu dalam mempertahankan tanah air sebagai tanah warisan mereka.

Menurut beliau, mesej yang disampaikan adalah jelas menjurus kepada semangat nasionalisme dan kecintaan terhadap tanah air atau hubbul watan.

"Ucapannya adalah dalam konteks perlunya orang Melayu bersatu padu mempertahankan tanah airnya, satu-satunya tanah asal mereka.

"Tanah asal turun temurun ada pada semua kaum... England bagi English, Scotland bagi Scottish, Wales bagi Welsh, Denmark bagi Danish dan banyak lagi.

"Semua ada negara keturunan asal walau mungkin orang keturunan English, Welsh, Scottish sudah menjadi warganegara lain," jelasnya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi dalam ceramah di Jempol, Negeri Sembilan menyentuh mengenai sejarah Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu yang dikatakan semakin terhakis dari aspek ekonomi serta politik.

Kenyataan berkenaan menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong yang mendakwa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan bersifat hasutan.

Annuar Musa berkata, sebagai individu yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang sejarah, Muhammad Sanusi disifatkan memahami pembentukan negara dan kedudukan masyarakat majmuk di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan bahawa anjuran supaya orang Melayu terus bersatu dan mencintai tanah air perlu diteruskan kerana perpaduan masyarakat Melayu disifatkan sebagai asas kepada kestabilan negara serta keharmonian semua kaum.

"Rakyat dan warganegara yang majmuk dalam negara kita akan kekal damai dan harmoni dibawah Pas, UMNO lebih lebih lagi PN-Barisan Nasional yang telah membuktikan mereka adalah lebih baik dari Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ucapan Muhammad Sanusi telah dimanipulasi yang mana beliau tidak pernah menggesa masyarakat Cina atau India kembali ke negara asal masing-masing seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Tambah beliau, ucapan tersebut sebaliknya mengajak masyarakat Melayu untuk memartabatkan negara yang merupakan tanah asal orang Melayu.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

"Beliau bercakap dari sudut perwarisan tanah nenek moyang, kalau orang Melayu tidak bersatu untuk memartabatkan tanah Melayu yang sekarang ini namanya Malaysia, siapa lagi hendak memartabatkannya?

"Itu maksud Muhammad Sanusi, mengajak Orang Melayu bersatu. Sejak bila perpaduan Melayu menjadi ancaman kepada pihak lain?," katanya.

Jelas beliau, perpaduan orang Melayu tidak menzalimi mana-mana pihak, malah setiap kaum bebas untuk memperkukuh perpaduan dalam komuniti masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!