MB Selangor gagal fahami sentimen Melayu, Islam - Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang cuba menggambarkan bahawa usaha penyatuan ummah khususnya antara parti itu dan UMNO sebagai satu helah politik semata-mata.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, kenyataan tersebut jelas membuktikan Menteri Besar Selangor tidak sensitif dengan kegusaran dan keresahan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam yang selama ini telah kecewa dengan politik Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam isu melibatkan kedaulatan Islam, Raja-Raja Melayu, orang-orang Melayu dan negara kita.
Beliau berkata, apa yang diungkapkan oleh Menteri Besar Selangor sangat bertentangan dengan apa yang diraikan oleh rakyat di bawah.
"Hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam sangat bergembira dan amat teruja dengan persefahaman Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan.
"Tindakan Menteri Besar Selangor membandingkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan Tokyo, Dubai dan Doha jelas menunjukkan betapa rendahnya tahap pemikiran beliau untuk mencerap dan memahami konteks, latar sejarah, dan struktur ekonomi negeri-negeri yang kompleks di Malaysia. Amat sedih sekali, ianya diungkapkan oleh MB Negeri Selangor, negeri bertuah yang menjadi nadi utama kepada ekonomi negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian melaporkan kelmarin, Pakatan Harapan (PH) mendakwa naratif penyatuan ummah dibawa oleh Pas menerusi hasrat bergabung dengan UMNO merupakan helah politik lama yang pernah dicuba beberapa kali, namun gagal.
Amirudin yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PH berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak 1981 dituduh sebagai pemecah-belah umat Islam, kaum Melayu dan rakyat Malaysia.
Aubidullah Fahim berkata, PKR dan PH sendiri masih lagi mengamalkan politik zalim dan tidak demokratik kepada negeri Terengganu contohnya iaitu tidak memberikan hak mutlak royalti kepada negeri Terengganu, tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang dan pelbagai kegagalan reformasi serta janji PH yang lain.
"Dewan Pemuda Pas Selangor ingin menegaskan bahawa penyatuan ummah bukanlah ancaman kepada negara, ia hanya akan menjadi ancaman yang sangat dahsyat kepada PH.
"Kami yakin, dengan pendekatan penyatuan ummah ini, insya-Allah PN dan BN bukan sekadar mampu menang di Negeri Sembilan, tetapi juga insya-Allah sekiranya berkekalan PN dan BN juga bakal menang di Selangor dalam PRU16 akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
