ANGKASA himpun tujuh negara Asia Pasifik perkasa pelancongan koperasi

JERANTUT – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kerjasama koperasi serantau apabila menghimpunkan pemimpin dan delegasi koperasi dari tujuh negara Asia Pasifik menerusi International Cooperative Alliance - Asia Pacific (ICA-AP) Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism.
Program itu disertai 25 delegasi dari Filipina, India, Indonesia, Jepun, Kemboja, Palestin dan Vietnam bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa serta meneroka potensi pembangunan pelancongan koperasi yang inklusif dan mampan.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Pengerusi ICA-AP Trade and Business Committee, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pelancongan koperasi bukan sekadar menawarkan pengalaman kepada pelancong, malah membuka ruang kepada koperasi memperluaskan rangkaian perniagaan, mempromosikan produk tempatan serta memperkukuh kerjasama Cooperative-to-Cooperative (C2C) di rantau Asia Pasifik.

Menurutnya, sektor berkenaan mampu menjadi platform strategik yang menghubungkan koperasi rentas sempadan menerusi pembangunan pakej pelancongan bersama, pemasaran produk tempatan dan perkongsian kepakaran sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi yang lebih mampan kepada komuniti.
"Kerjasama erat antara ICA-AP Trade and Business Committee dan ICEI membuktikan bahawa gabungan elemen pendidikan, pembangunan perniagaan dan perkongsian ilmu mampu melahirkan ekosistem koperasi yang lebih inovatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
“Kita juga berharap hubungan yang terjalin sepanjang program imersi ini akan diterjemahkan kepada kerjasama perniagaan, pertukaran pengetahuan dan pembangunan produk pelancongan koperasi yang memberi manfaat kepada seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya.
Program yang berlangsung selama lima hari yang berakhir pada Ahad dilaksanakan dengan kerjasama International Cooperative Alliance – Asia and Pacific (ICA-AP) menerusi ICA-AP Trade and Business Committee serta Committee on Cooperatives in Educational Institutions (ICEI).
Exco Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam merasmikan program itu bagi mewakili Menteri Besar.
Sementara itu, Amizar berkata program seumpama ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan pelancongan mampan berasaskan komuniti, malah meningkatkan promosi Pahang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menerusi rangkaian koperasi Asia Pasifik.
Menurutnya, koperasi memainkan peranan penting dalam memastikan manfaat industri pelancongan dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat melalui penyediaan produk, perkhidmatan dan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti.
"Pada tahun 2025, Pahang merekodkan sebanyak 15.28 juta ketibaan pelancong dengan hasil pelancongan berjumlah kira-kira RM13.72 bilion sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
"Bagi menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, Pahang menyasarkan sebanyak 15.5 juta pelawat menerusi pelbagai inisiatif strategik.
"Ia termasuk penganjuran program antarabangsa seperti ICA-AP Regional Immersion Programme on Cooperative Tourism yang mampu memperkenalkan keunikan pelancongan koperasi, memperluaskan jaringan kerjasama serantau serta memperkasa komuniti tempatan sebagai pemain utama dalam pembangunan ekonomi pelancongan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

