Thailand bina pagar berduri sepanjang sempadan Malaysia kekang pemberontak, penyeludup

BANGKOK – Tentera Thailand akan membina pagar kawat berduri sepanjang 99 kilometer di sempadan negara itu dengan Malaysia, meliputi kawasan dari daerah Tak Bai, Sungai Golok hingga Waeng di wilayah Narathiwat, bagi mengekang pergerakan kumpulan pemberontak dan penyeludup yang dipercayai bebas keluar masuk antara kedua-dua negara, lapor Thai PBS News.
Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Narathip Poynok berkata, projek itu bertujuan memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan yang sebahagian besarnya masih berkeadaan terbuka dan mudah ditembusi.
Menurut beliau, ketika ini hanya sebahagian kecil kawasan sempadan di Narathiwat dilengkapi pagar keselamatan, sistem pencahayaan dan kamera litar tertutup (CCTV).
Sungai Golok yang menjadi sempadan semula jadi antara daerah Sungai Golok dan negeri Kelantan didapati cetek serta sempit di beberapa lokasi, sekali gus memudahkan individu menyeberang terutama ketika musim kemarau.
Cadangan pembinaan pagar sempadan itu diaktifkan semula susulan serangan di daerah Ra-ngae pada Rabu yang mengorbankan lima anggota renjer Thailand.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan kos pembinaan projek berkenaan mahupun tarikh pelaksanaannya.
Menurut laporan, kumpulan pemberontak sering mendapatkan perlindungan di Kelantan bagi mengelak operasi memburu yang dijalankan pasukan keselamatan Thailand.
Ramai daripada mereka juga dilaporkan memiliki kewarganegaraan dua negara.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthamcharoen memohon maaf kepada pengamal media selepas menggesa mereka supaya tidak menggunakan istilah 'memburu' ketika melaporkan operasi ketenteraan susulan serangan berdarah tersebut.
Beliau berkata, dirinya amat berdukacita atas kematian lima anggota renjer itu, namun kenyataannya berhubung penggunaan istilah berkenaan mengundang kritikan dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Ketua Staf Tentera Thailand, Jeneral Chaiyapruek Duangprapat berkata, beliau telah mengarahkan Komander Wilayah Tentera Keempat supaya pasukan keselamatan memperhebat operasi memburu kumpulan pemberontak yang dipercayai bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

