Jangan cuba pesongkan fakta sejarah, sedia saman - Sanusi

ALOR SETAR – Tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman akan dilakukan terhadap mana-mana pihak cuba memanipulasi kenyataan berkaitan sejarah untuk kepentingan politik, tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang cuba memutar belit kenyataan beliau ketika menyampaikan ceramah di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurutnya, apa yang disampaikan hanyalah fakta sejarah dan bukan ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak tertentu.
"Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.
"Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba memesongkan fakta," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan, Himpunan Lembu Sado Malaya dan Sambutan World Rabies Day peringkat negeri Kedah di Suka Menanti di sini.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi dalam ceramah di Jempol, Negeri Sembilan menyentuh mengenai sejarah Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu yang dikatakan semakin terhakis dari aspek ekonomi serta politik.
Menurutnya, Tanah Melayu adalah satu-satunya tempat tinggal orang Melayu, tidak seperti kaum lain.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya dalam ceramah tersebut.
Kenyataan berkenaan menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk Ketua Angkatan Muda Harapan, Woo Kah Leong yang mendakwa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan bersifat hasutan.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, kenyataannya dalam ceramah berkenaan mempunyai butiran yang jelas dan tidak sepatutnya dipetik secara berasingan sehingga menimbulkan tafsiran berbeza.
"Berbutir, terus terang. Butiran dia jelas. Saja orang nak manipulasi, dia ambil sekerat, dia ulas, dia tambah sendiri. Lepas itu dia buat isu.
"Kalau yang faham bahasa Melayu, takkan bahasa Malaysia orang tak faham. Saja digembar-gemburkan untuk meraih keuntungan politik dan memburukkan saya," ujarnya.
Beliau menegaskan sejarah tidak wajar dijadikan punca mencetuskan ketegangan kerana ia merupakan fakta yang perlu dipelajari bagi memahami peristiwa lampau serta merancang masa hadapan.
Menurutnya lagi, pihak yang menyebarkan video atau laporan yang didakwa tidak menggambarkan kenyataan sebenar perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
"Saya cerita bab sejarah. Takkan tak faham. Saja nak menimbulkan ketegangan. Bukan saya yang timbulkan ketegangan, mereka yang menimbulkan ketegangan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan beliau tidak akan gentar untuk mempertahankan kenyataan yang disifatkannya berdasarkan fakta sejarah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

