Sultan Mizan sihat walafiat, zahir terima kasih atas doa rakyat

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kini berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan serta kesejahteraan baginda.
Pejabat Istana Terengganu dalam kenyataan dikongsi melalui Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan, baginda berada dalam keadaan yang baik dan akan meneruskan rawatan susulan seperti yang dijadualkan oleh pasukan perubatan di luar negara.
"Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman. Alhamdulillah dengan izin dan rahmat ALLAH SWT jua serta berkat doa seluruh rakyat, baginda kini berada dalam keadaan sihat walafiat," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut kenyataan sama, Sultan Mizan turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan baginda.
"Semoga ALLAH SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan serta dipermudahkan segala urusan baginda," kata kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

