'Terima kasih Anthony Loke ingatkan MCA' - Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menganggap kritikan berterusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terhadap parti itu sebagai peringatan yang membantu MCA untuk terus merendah diri dan tidak mengambil mudah setiap pilihan raya.

Menurutnya, Anthony mempunyai alasan untuk berasa yakin dengan kedudukan DAP di Negeri Sembilan dan menggelar MCA sebagai parti yang mengalami kekalahan paling besar

Beliau mengakui, hakikatnya MCA tidak memenangi walau satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan sejak 2013.

"Justeru, saya benar-benar berterima kasih kepada Anthony Loke kerana sentiasa mengingatkan semua pihak tentang kelemahan MCA. Kritikan menjadikan kami lebih merendah diri.

"Dan bagi pihak MCA, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Anthony Loke kerana mengingatkan kami agar tidak sesekali mengambil mudah mana-mana pilihan raya," katanya dalam satu hantaran Facebook pada tengah malam, Ahad.

Sebelum, Anthony Loke secara sindiran berterima kasih kepada MCA kerana tidak meletakkan calon di tiga kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mengulas keputusan MCA tidak bertanding di tiga kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan, Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian bahawa peluang parti berkenaan terlalu tipis selepas mengalami kekalahan besar di kerusi terbabit dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

"Tiada gunanya berpura-pura sebaliknya pada ketika ini.

"Namun, bagi tujuh kerusi yang kami tandingi, kami percaya kami masih mempunyai peluang untuk bersaing," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MCA juga memahami bahawa tiada siapa yang berhutang undi kepada parti itu.

Justeru, beliau memberitahu, MCA perlu bekerja lebih keras dan meyakinkan pengundi seorang demi seorang bahawa mereka layak diberi peluang sekali lagi untuk berkhidmat selepas 13 tahun tanpa seorang pun wakil parti itu di DUN Negeri Sembilan.

"MCA pada asasnya sedang bermula semula di Negeri Sembilan. Ini bermakna kami tidak boleh bersikap angkuh dan tidak boleh menganggap mana-mana pengundi sebagai sesuatu yang sudah pasti.

"Apa yang kami boleh lakukan hanyalah membuktikan bahawa jika diberi peluang, wakil MCA mampu bekerja keras, menyuarakan pandangan dan menawarkan alternatif yang berwibawa kepada pengundi berbanding wakil DAP yang telah mereka miliki selama bertahun-tahun," kongsinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MCA bersyukur apabila pengundi di Johor memberi peluang kepada parti itu untuk merampas semula tiga kerusi DUN pada pilihan raya negeri minggu lalu.

"Semoga pengundi di Negeri Sembilan juga mempertimbangkan untuk memberi kami satu lagi peluang di beberapa kerusi di negeri ini," tambah Ka Siong lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!