Amirudin, sila ukur penyatuan ummah dengan fakta

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, secara sinis mendakwa sekiranya naratif penyatuan ummah benar-benar mampu menyelesaikan masalah rakyat dan memajukan ekonomi, penduduk di negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) sepatutnya hidup jauh lebih selesa serta berpendapatan setanding dengan penduduk Tokyo, Dubai dan Doha.
Kenyataan seperti itu terlalu simplistik bila datang daripada seorang Menteri Besar. Penyatuan ummah tidak pernah dikemukakan sebagai formula ajaib yang serta-merta menjadikan sesebuah negeri menyamai pusat kewangan dunia. Ia ialah gagasan politik untuk membentuk kestabilan, menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam serta membina kerjasama dengan masyarakat bukan Islam yang sederhana dan tidak ekstrem.
Lebih ironis, sindiran Amirudin dibuat ketika rakyat di negeri yang dipimpinnya sendiri masih berhadapan dengan masalah asas yang belum diselesaikan secara tuntas.
Pada 18 Julai 2026, beberapa kawasan di Petaling Jaya sekali lagi dilanda banjir kilat sehingga sebuah kenderaan dilaporkan terkandas berhampiran Phileo Damansara. Medan Selera 223 pula dilanda banjir bagi kali ketiga dalam tahun ini selepas kejadian terdahulu pada April dan Mei. Sebanyak 54 peniaga yang terjejas kemudiannya diberikan pengecualian sewa selama sebulan. Adakah ini gambaran kehidupan “lebih selesa” yang mahu dijadikan ukuran oleh Amirudin?
Masalah ini lebih serius kerana Sultan Selangor sendiri telah berkali-kali memberikan teguran. Pada 20 April 2026, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menitahkan kerajaan negeri memberikan keutamaan penuh kepada usaha menangani banjir melalui perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.
Baginda bertitah bahawa isu banjir telah “berpuluh kali” dinasihatkan untuk diselesaikan, namun hasil yang berkesan masih belum dapat dilihat meskipun peruntukan disediakan setiap tahun. Baginda turut menyatakan bahawa banjir terus berlaku di kawasan perumahan sehingga menyusahkan rakyat.
Sebelum Amirudin memperlekehkan kehidupan rakyat di negeri-negeri lain, beliau sewajarnya menjawab mengapa negeri terkaya dan paling maju di Malaysia masih gagal memberikan penyelesaian berkesan terhadap masalah banjir kilat yang berulang.
Selangor mempunyai segala kelebihan seperti kedudukan di Lembah Klang, jaringan lebuh raya, pelabuhan utama, kepadatan pasaran, ekosistem industri yang telah dibangunkan selama berdekad-dekad serta hubungan langsung dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kekuatan ekonomi Selangor bukan dibina oleh satu kerajaan atau seorang Menteri Besar sahaja. Ia merupakan hasil pembangunan panjang yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Oleh itu, kemenangan PH di sebuah negeri yang memang telah lama maju tidak boleh secara automatik dianggap bukti bahawa setiap dasar dan pentadbirannya lebih baik daripada negeri lain.
Ukuran yang lebih adil ialah sama ada sesebuah kerajaan negeri berjaya mengembangkan ekonomi berdasarkan sumber, kedudukan geografi dan asas pembangunan yang diwarisinya. Dari sudut ini, negeri-negeri SG4 tidak boleh dipandang rendah.
Kedah, misalnya, tidak lagi boleh digambarkan sebagai negeri pertanian semata-mata. Pada tahun 2025, ekonomi Kedah berkembang sebanyak 4.1 peratus kepada RM56.3 bilion. Sektor pembuatannya berkembang sebanyak 5.0 peratus, dipacu antaranya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal.
Sebaliknya, KDNK Negeri Sembilan pada tahun sama ialah RM55.8 bilion dengan pertumbuhan hanya 2.6 peratus. Sektor pembuatannya berkembang lebih perlahan, iaitu 1.9 peratus. Ini bermakna Kedah bukan sahaja mempunyai saiz ekonomi yang sedikit lebih besar, malah mencatatkan kadar pertumbuhan keseluruhan dan pembuatan yang lebih tinggi daripada Negeri Sembilan pada tahun 2025.
Angka ini penting kerana Kedah terletak jauh dari limpahan langsung Lembah Klang. Negeri Sembilan pula bersempadan dengan Selangor, mempunyai hubungan lebuh raya dan kereta api yang baik serta terletak berhampiran Kuala Lumpur, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Persoalan yang wajar dijawab oleh PH ialah mengapa, selepas mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 dan turut menguasai Kerajaan Persekutuan, potensi limpahan pembangunan Lembah Klang masih belum diterjemahkan kepada pertumbuhan yang jauh lebih pantas.
Kedah juga telah membuktikan keupayaannya menarik pelaburan berskala besar. Pada 2024, Kedah menerima RM45.8 bilion pelaburan diluluskan, meletakkannya dalam kelompok lima negeri utama negara. Selangor memang mencatatkan jumlah lebih tinggi, iaitu RM101.1 bilion, tetapi pencapaian Kedah tetap besar apabila dinilai berdasarkan saiz ekonomi, populasi dan kedudukannya.
Pada suku pertama 2024 sahaja, Kedah menduduki tempat pertama dalam kalangan negeri dari segi pelaburan diluluskan dengan nilai RM31.3 bilion. Fakta ini membuktikan bahawa pentadbiran negeri berteraskan Pas dan PN tidak menghalang keyakinan pelabur seperti yang cuba digambarkan oleh Amirudin.
Kehadiran syarikat global turut menunjukkan bahawa Kedah memiliki ekosistem industri yang semakin matang.
Boeing mengambil alih sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia pada penghujung Disember 2023, menjadikan kilang di Bukit Kayu Hitam itu kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara. Kilang tersebut membekalkan produk komposit dan komponen untuk semua pesawat komersial Boeing serta menggaji kira-kira 1,000 pekerja yang keseluruhannya rakyat Malaysia.
Porsche pula memilih Kulim sebagai lokasi pemasangan model tertentu bagi pasaran Malaysia. Bermula pada 2024, kenderaan yang dipasang di Kedah turut digunakan untuk memenuhi pasaran Thailand. Ini menunjukkan operasi di Kulim bukan sekadar pemasangan untuk pasaran domestik, tetapi telah berkembang sebagai sebahagian daripada rantaian pengeluaran serantau Porsche.
Inilah realiti yang gagal dimuatkan dalam sindiran Amirudin. Negeri yang diperintah Pas bukanlah negeri yang menolak industri, teknologi atau pelaburan antarabangsa. Kedah sedang membangunkan ekosistem semikonduktor, aeroangkasa, automotif, tenaga dan pembuatan berteknologi tinggi sambil mengekalkan peranannya sebagai negeri pengeluar makanan.
Kelantan juga tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kelemahan infrastrukturnya tanpa mengambil kira batasan fiskal serta pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Dalam aspek kebajikan pekerja wanita, Kerajaan Kelantan telah mengumumkan pelaksanaan cuti bersalin selama 90 hari bagi kakitangan wanitanya mulai 2011, beberapa tahun sebelum kemudahan maksimum 90 hari diumumkan melalui Belanjawan Persekutuan 2018.
Ini menunjukkan bahawa sesebuah negeri tidak perlu menjadi negeri terkaya untuk memperkenalkan dasar sosial yang mendahului pentadbiran lain.
Dari sudut hasil negeri pula, Kedah mencatatkan kutipan tertinggi dalam tempoh 25 tahun sebanyak RM816 juta pada 2025, meningkat daripada RM629 juta pada 2023 dan RM769 juta pada 2024. Kerajaan negeri turut mencatatkan lebihan sebanyak RM48 juta.
Negeri Sembilan pula mengutip RM785.2 juta pada tahun 2025. Angka tersebut sememangnya suatu pencapaian yang baik dan tidak seharusnya dinafikan. Namun begitu, ia masih lebih rendah daripada hasil Kedah walaupun Negeri Sembilan mempunyai kelebihan lokasi yang jauh lebih hampir dengan pusat ekonomi negara.
Perbandingan hasil negeri tidak boleh dijadikan satu-satunya ukuran kerana setiap negeri mempunyai keluasan, sumber pendapatan dan struktur ekonomi berbeza. Masa sama, angka itu cukup untuk menolak gambaran bahawa semua negeri yang ditadbir Pas tidak mempunyai keupayaan fiskal atau pentadbiran.
Penyatuan ummah bukan bahasa perkauman. Ia bukan usaha menafikan hak masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Sebaliknya, ia bertujuan memulihkan kekuatan serta kestabilan politik Melayu-Islam sebagai tunjang negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang turut menjamin hak sah seluruh rakyat Malaysia.
Kestabilan politik Melayu-Islam penting supaya isu berkaitan kedudukan Islam, institusi Raja, bahasa Melayu dan hak Bumiputera dapat diurus secara berperlembagaan, bukan diperdagangkan setiap kali berlaku persaingan mendapatkan kuasa.
Amirudin mungkin tidak bersetuju dengan pendekatan Pas, tetapi beliau tidak seharusnya mempersendakannya dengan perbandingan melampau terhadap Tokyo, Dubai atau Doha. Perdebatan politik yang matang mesti berasaskan fakta, bukannya karikatur terhadap negeri yang mempunyai sejarah, geografi dan struktur ekonomi berbeza.
Malah, PKR sendiri perlu melakukan muhasabah terhadap kedudukannya. Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2025, PKR hanya memenangi satu kerusi daripada 12 kerusi yang ditandinginya.
Dalam Pilihan Raya Negeri Johor pula, PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi, berbanding 48 kerusi yang dimenangi BN. Daripada lapan kerusi PH itu, hanya satu dimenangi PKR, iaitu Puteri Wangsa.
PKR kini hanya mempunyai satu kerusi masing-masing di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Johor. Kedudukan ini tidak sepadan dengan gambaran seolah-olah PKR memiliki formula politik yang diterima secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia.
Sebelum Amirudin mengajar negeri-negeri SG4 tentang keselesaan, kemajuan dan perpaduan, beliau wajar menilai semula masalah banjir di Selangor, prestasi PH di Negeri Sembilan serta kemerosotan penerimaan rakyat terhadap PKR di Sabah dan Johor.
Selangor yang kaya bukan lesen untuk memperlekeh negeri lain. Kekayaan yang diwarisi mesti diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat. Negeri yang mempunyai sumber lebih kecil pula wajar dinilai berdasarkan sejauh mana ia berjaya mengembangkan potensinya.
Penyatuan ummah tidak harus diadili melalui sindiran. Ia perlu dibahaskan berdasarkan tujuan, prinsip dan keperluan politik negara.
Jika Amirudin benar-benar yakin dengan rekod PH, beliau sepatutnya menjawab dengan pencapaian dan penyelesaian, bukan dengan mempersendakan rakyat di negeri lain.
*Muhammad Hafiz Mansor ialah Ketua Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
