[VIDEO] 'Bergurau Anthony calon menteri besar adalah biadab'- Aminuddin

PORT DICKSON– Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menganggap kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengaitkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai calon menteri besar adalah biadab.
Menurut beliau, seorang pemimpin tidak sepatutnya membuat gurauan sedemikian kerana umum mengetahui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) memperuntukkan bahawa jawatan menteri besar disandang oleh orang Melayu.
"Saya juga nak tegur Asyraf Wajdi yang mana saya merasakan dia seorang pemimpin yang bijaksana, tetapi apabila dia mengatakan bahawa kalau saya kalah di Linggi, Anthony akan jadi menteri besar.
"Saya rasa itu satu kenyataan yang cukup biadab. Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) telah menyatakan bahawa menteri besar ialah orang Melayu. Saya minta supaya seluruh pimpinan UMNO menegur pemimpin biadab ini," katanya ditemui pemberita berkempen di DUN Linggi, di sini pada Jumaat.
Terdahulu media melaporkan Asyraf Wajdi mempersoalkan siapakah yang akan dilantik sebagai calon menteri besar daripada PH sekiranya Aminuddin tewas dalam pilihan raya negeri kali ini.
Beliau kemudian membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahu Anthony Loke menjadi Menteri Besar.
Ujar Aminuddin lagi, sebagai seorang pemimpin, beliau tidak sepatutnya bergurau seperti itu kerana ia boleh disalah tafsir.
Justeru, calon DUN Linggi itu berharap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan seluruh rakyat negeri ini.
"Bagi saya tidak sepatutnya berlaku dalam pilihan raya bergurau seperti itu, boleh bergurau tetapi biarlah kena pada tempatnya.
"UUTKNS tidak menyatakan bahawa seorang Cina boleh jadi menteri besar. Saya harap kebidaban ini boleh dihentikan, tegur-tegurlah pimpinan dan jaga mulut ketika pilihan raya," katanya.
Aminuddin berkata, semua pihak boleh bercakap apa sahaja, namun jangan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya atau menyentuh institusi Diraja.
"Kita kata kita hormat Islam dan Raja, tetapi kita langgar. Saya mohon sungguh-sungguh kepada Asyraf Wajdi supaya tidak mengulanginya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

