Presiden Bangladesh Shahabuddin letak jawatan sebelum tamat penggal

Mohammed Shahabuddin. Foto Anadolu Ajansi
Mohammed Shahabuddin. Foto Anadolu Ajansi
A
A
A

DHAKA - Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin meletakkan jawatan pada Jumaat atas faktor kesihatan, hampir dua setengah tahun sebelum penggal lima tahunnya dijadual berakhir pada 2028, ketika tekanan daripada parti pembangkang supaya beliau berundur semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi.

"Saya mengalami masalah kesihatan yang serius. Oleh itu, saya tidak lagi mampu menjalankan tugas sebagai penyandang jawatan berperlembagaan ini," kata Shahabuddin, 76, dalam surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Speaker Parlimen, Hafiz Uddin Ahmed pada Jumaat.

Ahmed berkata, beliau menerima peletakan jawatan Shahabuddin.

Mengikut Perlembagaan Bangladesh, Ahmed akan memangku jawatan presiden sementara dan seorang presiden baharu perlu dipilih dalam tempoh 90 hari.

Peletakan jawatan itu berlaku susulan laporan media yang mendakwa Shahabuddin mengadakan perbualan telefon dengan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang kini berada di India, ketika beliau berada di United Kingdom untuk mendapatkan rawatan pada Mei lepas.

Hasina, pemimpin parti Liga Awami yang diharamkan, meletak jawatan pada kemuncak kebangkitan yang dipimpin pelajar pada musim panas 2024.

Beliau melarikan diri ke India dan menyatakan hasrat untuk pulang ke Bangladesh lewat tahun ini, walaupun dijatuhi hukuman mati atas kes pembunuhan orang awam.

Presiden Bangladesh dipilih oleh ahli Parlimen.

Parti pemerintah, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), kini menguasai majoriti kerusi Parlimen. Oleh itu, calon yang dikemukakan parti itu dijangka dipilih sebagai presiden baharu.

Artikel Berkaitan:

Shahabuddin mengangkat sumpah sebagai Presiden Bangladesh ke-22 pada April 2023 ketika kerajaan Liga Awami pimpinan Hasina, bagi penggal lima tahun.

Penggal beliau sepatutnya berakhir pada April 2028, namun beliau meletakkan jawatan hampir dua setengah tahun lebih awal. - Bernama-Anadolu

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!