Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo letak jawatan, Destry Damayanti jadi pemangku gabenor

JAKARTA - Gabenor Bank Indonesia (BI) Perry Warjiyo telah menyerahkan surat peletakan jawatannya manakala Timbalan Gabenor Kanan, Destry Damayanti akan mengambil alih jawatan secara automatik sebagai Pemangku Gabenor selaras dengan peruntukan Undang-Undang BI.
Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, kerajaan telah menerima surat peletakan jawatan Perry secara rasmi pada Ahad dan Presiden Prabowo Subianto menerima peletakan jawatan itu.
"Selaras dengan prosedur serta undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, khususnya Undang-Undang BI, presiden telah menerima peletakan jawatan Perry dan pada masa sama merakamkan penghargaan dan terima kasih atas dedikasi beliau sepanjang hampir tujuh tahun menerajui BI," katanya pada sidang media pada Isnin.
Prasetyo berkata, kerajaan akan segera memulakan proses pentadbiran dengan mengeluarkan dekri presiden bagi mengesahkan peletakan jawatan Perry secara terhormat daripada jawatan gabenor.
"Selaras dengan Undang-Undang BI, jawatan gabenor akan dipangku secara automatik oleh Timbalan Gabenor Kanan, yang seterusnya akan melaksanakan semua tugas sebagai Pemangku Gabenor," katanya.
Prasetyo berkata, kerajaan menyeru semua institusi untuk terus melaksanakan mandat masing-masing mengikut undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa bank pusat akan terus menjalankan tanggungjawab dasar monetari manakala kerajaan menerusi Kementerian Kewangan akan terus bertanggungjawab terhadap dasar fiskal serta mengekalkan penyelarasan yang erat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
