Cheng Hoe waspada ancaman serangan balas Myanmar

Cheng Hoe (kiri) mengingatkan pemain Harimau Malaya tidak hilang fokus apabila berdepan Myanmar di Yangon. Foto Malaysia NT
Cheng Hoe (kiri) mengingatkan pemain Harimau Malaya tidak hilang fokus apabila berdepan Myanmar di Yangon. Foto Malaysia NT
A
A
A

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menuntut anak buahnya berwaspada terhadap ancaman serangan balas Myanmar menjelang aksi pembukaan Kumpulan B, Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, Yangon hari ini (6 petang waktu Malaysia).

Beliau berkata, persiapan pasukan berada pada tahap baik selepas menjalani latihan sejak beberapa hari lalu, namun mengingatkan pemain supaya tidak hilang fokus ketika berdepan skuad kendalian Jon Andersen.

"Kami tahu Myanmar juga membuat persiapan rapi dengan kehadiran jurulatih baharu. Mereka adalah pasukan yang bekerja keras dan mempunyai corak permainan dengan peralihan pantas.

"Kami perlu fokus kepada cara permainan sendiri dan tidak boleh kehilangan bola terlalu mudah kerana ia boleh membuka ruang kepada serangan balas mereka," katanya.

Tambah Cheng Hoe, pihaknya sudah meneliti aksi Myanmar ketika menentang Vietnam bagi mengenal pasti kekuatan pasukan berkenaan.

"Mereka bermain dengan intensiti tinggi, mempunyai kerjasama berpasukan yang baik, semangat juang dan gemar melakukan tekanan tinggi.

"Kami mempunyai pemain yang mampu menyerap tekanan itu dan saya yakin mereka bermotivasi untuk menghadapi Myanmar, terutama di hadapan penyokong tuan rumah," katanya.

Beliau berkata, skuad negara juga berada dalam keadaan positif selepas tiba di Yangon, selain pemain menunjukkan komitmen baik sepanjang sesi latihan.

"Saya harap pemain dapat menterjemahkan apa yang dipelajari di padang. Kami akan cuba mendapatkan mata pertama dalam kejohanan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas ini, Harimau Malaya meneruskan cabaran bertemu Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 Julai.

Selepas itu, skuad negara dijadual berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 1 Ogos sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!