Harimau Malaya buru peningkatan hadapi Laos

SELEPAS membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan kemenangan ke atas Myanmar, Harimau Malaya kini mengalihkan fokus kepada cabaran Laos dalam usaha meneruskan momentum positif saingan Kumpulan B.
Malaysia akan melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa dengan jurulatih Tan Cheng Hoe menuntut peningkatan berterusan daripada anak buahnya selepas mengakui skuad negara masih belum mencapai tahap terbaik.
Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Myanmar 2-1 di Stadium Thuwunna, Yangon menerusi dua jaringan Paulo Josue pada babak kedua, namun Cheng Hoe melihat masih ada ruang untuk pasukannya diperbaiki terutama dari segi kecergasan dan keserasian.
ARTIKEL BERKAITAN: Piala ASEAN 2026: Malaysia kalahkan Myanmar
Paulo Josue yakin keserasian bawa impak positif
Cheng Hoe waspada ancaman serangan balas Myanmar
"Kemenangan ke atas Myanmar memberikan keyakinan kepada pemain tetapi kami tahu masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Kami perlu membina lagi persefahaman, kerja berpasukan dan keserasian kerana perkara itu sangat penting untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.
Tambahnya, proses membentuk karakter pasukan memerlukan masa memandangkan sebahagian besar pemain baru kembali menjalani latihan selepas tempoh rehat pramusim.
"Saya percaya selepas satu atau dua perlawanan lagi, pasukan akan menjadi lebih baik dari segi gandingan dan kefahaman," ujarnya.
Gabungan pemain muda dan berpengalaman dalam skuad ketika ini turut memberikan keyakinan kepada Cheng Hie untuk melihat perkembangan positif sepanjang kejohanan.
Selepas aksi berdepan Laos, Malaysia dijadual menentang pendahulu kumpulan, Thailand di Bangkok pada 1 Ogos sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Thailand sebelum ini memulakan kempen dengan kemenangan bergaya apabila membelasah Laos 5-0 di Phnom Penh.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
