Gabungan 58 NGO serah memorandum ke kedutaan AS, bantah tekanan terhadap Malaysia

Mohd Azmi (tengah) menunjukkan memorandum bantahan berhubung tekanan yang diberikan oleh ahli Kongres AS ke atas dasar kedaulatan Malaysia di hadapan Kedutaan AS di sini, hari ini. - Foto: Bernama
Mohd Azmi (tengah) menunjukkan memorandum bantahan berhubung tekanan yang diberikan oleh ahli Kongres AS ke atas dasar kedaulatan Malaysia di hadapan Kedutaan AS di sini, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan 58 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) hari ini bagi membantah tindakan lapan Ahli Kongres negara itu yang mendesak campur tangan terhadap dasar luar Malaysia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum bantahan itu diserahkan kepada pegawai bahagian politik kedutaan pada jam 2.45 petang tadi.

Turut serta dalam sesi penyerahan memorandum itu ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Hasnul Haniff Harun.

Mohd Azmi berkata, bantahan itu dibuat susulan tindakan ahli Kongres berkenaan yang mendesak kerajaan AS menggantung bantuan keselamatan termasuk program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) sekiranya Malaysia tidak membatalkan dasar larangan terhadap warga Israel dalam tempoh 15 hari.

"Kita menegaskan tentang kedaulatan, hak dan kebebasan untuk menentukan dasar negara tanpa perlu tunduk kepada tekanan AS yang memberikan masa 15 hari untuk kita mengikuti kehendak mereka.

"Siapa AS untuk menentukan dasar kami? … Malaysia secara konsisten tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan perkara ini tertera dengan jelas pada pasport negara yang tidak membenarkan perjalanan ke negara haram itu," katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum berkenaan.

Mohd Azmi turut membidas hipokrasi AS yang menyekat kemasukan rakyat dari beberapa negara lain atas alasan kedaulatan, namun dalam masa yang sama mempertikaikan hak Malaysia untuk menghalang kemasukan warga Israel.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, pihak NGO semalam telah menyerahkan memorandum sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan pendirian rakyat Malaysia yang bersatu di belakang ketegasan kerajaan.

Beliau turut menyelar dakwaan lapan Ahli Kongres parti Demokrat negara terbabit kononnya tindakan Malaysia bersifat antisemitisme, dan menegaskan bahawa pendirian negara ialah menentang penindasan dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang sedang berlaku di Gaza.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, lapan Ahli Kongres terbabit dilapor menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio bagi menzahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap tindakan mengusir segera warga Israel yang didakwa menetap di negara ini menggunakan dua kewarganegaraan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!