Anak muda sambut baik kerjasama politik BN-PN

IPOH – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerima sambutan positif dalam kalangan anak muda yang melihat persefahaman itu sebagai langkah ke arah mewujudkan pentadbiran lebih stabil demi masa depan negara.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Hafez Sabri berkata, maklum balas diterimanya hasil pertemuan bersama golongan muda menunjukkan mereka mahukan perselisihan politik ditamatkan agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha membangunkan negara dan menjaga kepentingan generasi akan datang.
Menurutnya, anak muda melihat penyatuan serta kerjasama antara kedua-dua gabungan itu sebagai pendekatan yang mampu membawa pentadbiran lebih baik sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
"Orang muda melihat kepentingan kerjasama ini demi masa depan negara dan generasi muda. Mereka bertanya sampai bila kita mahu terus berbalah dan berpecah sehingga banyak perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan bersama tidak dapat dilakukan.
"Harapan mereka besar supaya jika mandat diberikan kepada kerjasama BN dan PN, negara dapat ditadbir dengan lebih baik, begitu juga negeri Perak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Hafez berkata, kerjasama tersebut bukan berasaskan sentimen kaum semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai parti yang mewakili masyarakat berbilang kaum dalam kedua-dua gabungan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerjasama itu bersifat perkauman tidak berasas kerana PN dan BN turut dianggotai parti yang mewakili kaum Cina serta India.
Mengulas kerjasama jentera Pemuda BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Hafez berkata, pelbagai program bersama telah dilaksanakan sejak minggu pertama kempen.
Menurutnya, antara program yang diadakan ialah perlawanan bola sepak, konvoi motosikal, ceramah, podcast dan sesi santai bersama bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua sayap pemuda.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan beberapa pengumuman kerajaan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang menurutnya boleh menimbulkan persepsi ia bertujuan meraih sokongan pengundi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi juga mendakwa golongan muda kini lebih kritikal dalam menilai prestasi kerajaan serta menuntut setiap janji yang dibuat kepada rakyat ditunaikan.
Katanya, anak muda mahukan pemimpin yang berpegang kepada janji, telus dan konsisten dalam pentadbiran, selain berharap budaya politik yang lebih matang dapat diwujudkan menerusi kerjasama yang dibina antara BN dan PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

