'Jangan fitnah saya, jangan menang melalui fitnah' - Anwar

Anwar menandatangani buku selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusasda Port Dickson hari ini. - Foto: Bernama
Anwar menandatangani buku selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusasda Port Dickson hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya tidak melemparkan fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar semata-mata untuk meraih kemenangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Anwar berkata, beliau turut menjadi mangsa fitnah, termasuk dakwaan kononnya mengadakan perjumpaan bagi menyebarkan dakyah dalam kalangan anggota tentera dan veteran ketika berkempen pada pilihan raya tersebut.

"Pagi tadi ada pegawai saya hantar, dia kata 'Ooh...Anwar panggil orang sebar di kalangan tentera. Saya pening, politik sampai begitu rupa. Dia ambil keputusan cut, paste, kemudian sahkan itu sebagai kenyataan.

"Saya bukan sempurna, saya ada banyak kelemahan. Saya juga dalam hidup banyak kesilapan dan kalau terlepas apa-apa keterlanjuran saya minta maaf, tetapi jangan fitnah saya," katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar turut berkongsi pengalaman pernah berdepan pelbagai fitnah dan layanan tidak adil sepanjang hidupnya, sambil berharap semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman itu serta tidak menjadikan fitnah sebagai jalan untuk memperoleh kemenangan politik.

Beliau juga memohon kerjasama dan sokongan padu warga perkhidmatan awam bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara serta membolehkan agenda reformasi dan perubahan kerajaan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pada PRN Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan 16 calon PKR, 11 calon DAP dan sembilan calon Amanah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 28 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!