Mesyuarat CZBUCG, kerajaan Pulau Pinang sebelum tender terowong dibuka- Saksi

 Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis diberitahu bahawa terdapat empat atau lima mesyuarat diadakan antara syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata, mesyuarat itu dijalankan sebelum pembidaan projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut dibuat, menerusi tender terbuka.

Zulhilmi memberitahu demikian ketika disoal balas peguam, Mohd Haijan Omar pada perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung projek berkenaan bernilai RM6.3 bilion.

Beliau berkata, mesyuarat terbabit dihadiri seorang wakil, Datuk Lee Chee Hoe serta wakil kerajaan negeri daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang yang diwakili seorang individu dikenali sebagai Azlan.

Saksi pendakwaan ke-38 itu menganggarkan empat atau lima mesyuarat dijalankan namun tidak dapat mengingati semua tarikhnya.

Peguam yang mewakili bekas Pengerusi DAP berusia 66 tahun itu kemudian mencadangkan bahawa, kewujudan mesyuarat-mesyuarat tersebut tidak disokong sebarang bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Mohd Haijan berkata, tiga mesyuarat antara CZBUCG dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 10 dan 19 Mei serta 11 Julai 2011 ialah berhubung projek itu diatur secara khusus oleh Guan Eng.

“Saya katakan tiada asas kepada dakwaan oleh saksi daripada CZBUCG berkenaan mesyuarat-mesyuarat lain yang dihadiri oleh mereka.

“Selain tiga mesyuarat itu, tiada juga asas untuk mereka menyokong dakwaan berkenaan,” kata Mohd Haijan.

Artikel Berkaitan:

Saksi berkenaan kemudiannya berkata tidak setuju terhadap semua cadangan dan soalan yang diajukan peguam tersebut.

Peguam: Apakah sokongannya, yang dikatakan wujud mesyuarat lain malah dihadiri oleh semua individu tersebut?

Zulhilmi: Ia berdasarkan keterangan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli (saksi pendakwaan ke-23, Pengarah syarikat CZBUCG), bahawa terdapat perjumpaan awal.

Bagaimanapun, saksi ini bersetuju, selepas peguam itu mencadangkan bahawa, sekiranya mesyuarat itu wujud, beliau tidak mengetahui isu yang dibincangkan kerana tiada minit mesyuarat.

Sebelum ini, Zulhilmi menerusi pernyataan saksinya berkata, CZBUCG merupakan syarikat yang terbaik daripada lima pembida yang dinilai bagi projek berkenaan.

Beliau berkata CZBUCG memperolehi markah 93 peratus berbanding pembida terdekat iaitu VST Cemerlang yang memperoleh markah 77 peratus, menyebabkannya dipilih mendapatkan tender bagi projek terbabit.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri itu, bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Jumaat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!