Bangunan komersial di Jalan Ampang diserbu, 109 warga asing ditahan

Seramai 120 individu diperiksa membabitkan tujuh warga tempatan dan 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar serta India.
Seramai 120 individu diperiksa membabitkan tujuh warga tempatan dan 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar serta India.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran warga asing terutamanya warga China yang dilihat semakin ketara di sebuah bangunan komersial di Jalan Ampang membawa kepada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Khamis.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada jam 11.45 pagi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam serta hasil risikan selama tiga minggu.

Menurutnya, seramai 58 pegawai pelbagai pangkat digerakkan ke Aras 18, Menara 1 dan Aras 24, Menara 3 bangunan komersial berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 120 individu diperiksa membabitkan tujuh warga tempatan dan 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar serta India.

"Ketika serbuan dijalankan, warga asing terbabit didapati sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis yang dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai sebuah kelab hiburan eksklusif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bangunan komersial yang diserbu pada Khamis.
Bangunan komersial yang diserbu pada Khamis.

Beliau berkata, premis itu turut dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis serta akses masuk yang dikawal rapi, dipercayai bagi mengehadkan kemasukan orang awam selain mengelakkan kegiatan di dalamnya dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebahagian besar warga asing terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun disyaki menjalankan pekerjaan tanpa kebenaran sekali gus melanggar syarat pas yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Turut dikenal pasti ialah individu yang disyaki tinggal melebihi tempoh sah pas selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan.

"Seramai 109 warga asing terdiri daripada 78 lelaki warganegara China dan 31 lelaki warganegara Bangladesh, Myanmar serta India berusia antara 30 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Zakaria berkata, kesemua warga asing terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai pengurus atau individu yang bertanggungjawab menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan.

"JIM turut mengeluarkan Saman kepada Saksi (Borang 29) kepada seorang penyelia Badan Pengurusan Bersama bangunan komersial itu bagi membantu siasatan," katanya.

Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau menyalahgunakan pas di negara ini.

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!