Kerajaan Negeri Sembilan sudah ambil tindakan isu pencerobohan tanah - Fahmi

SEREMBAN - Dakwaan bahawa kerajaan Negeri Sembilan tidak mengambil tindakan berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kampung termasuk Kampung Pasir di sini adalah tidak benar.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan dimaklumkan tindakan lanjut telah pun diambil.
Menurutnya, difahamkan terdapat 12 buah rumah yang didapati menceroboh tanah kerajaan negeri.
“Sejak aduan itu diterima, pihak Pejabat Menteri Besar telah berhubung dengan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban dan didapati sebanyak 12 rumah berstatus sebagai pencerobohan tanah kerajaan negeri.
"Daripada jumlah tersebut, ada sejumlah rumah yang telah pun diusahakan untuk pemindahan luar, manakala lima keluarga ditawarkan rumah mampu milik kerajaan negeri," katanya kepada pemberita.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian mengulas isu yang tular di media sosial berkaitan surat bertarikh 18 Julai 2022 mengenai dakwaan pencerobohan tanah kerajaan Negeri Sembilan membabitkan beberapa kampung di Seremban.
Jelas Fahmi lagi, bagi baki rumah yang dikenal pasti, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah menyediakan kertas cadangan serta maklum balas dan telah pun dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, proses membuat keputusan tertangguh selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada awal Jun lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri sekali gus menyebabkan beberapa keputusan pentadbiran perlu menunggu pembentukan kerajaan baharu.
"Tapi setakat hari ini maklumat yang diterima membuktikan bahawa pihak kerajaan negeri sedang mengambil tindakan malah telah mengambil tindakan pada pihak yang cuba menyebarkan dakwaan palsu ataupun perkara yang tidak benar," katanya.
Fahmi berkata, perkembangan itu membuktikan kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah mengabaikan aduan berkaitan pencerobohan tanah seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

