Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat mendatar berbanding dolar AS, begerak pada sekitar RM4.06 hingga RM4.08. Gambar hiasan
Ringgit dijangka diniagakan dalam julat mendatar berbanding dolar AS, begerak pada sekitar RM4.06 hingga RM4.08. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan ketegangan yang meningkat di Asia Barat mendorong jangkaan mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyokong mata wang negara itu.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menurun kepada 4.0870/0910 berbanding dolar AS daripada 4.0850/0890 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah terus meningkat, dengan West Texas Intermediate (WTI) dan Brent, masing-masing naik 3.19 peratus dan 4.23 peratus kepada AS$89.60 setong dan AS$98.05 setong.

"Peningkatan semula serangan ketenteraan di Asia Barat telah meningkatkan kebimbangan mengenai bekalan minyak global apabila rundingan damai antara AS dan Iran dilihat semakin tidak stabil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lonjakan harga minyak turut mewujudkan persoalan mengenai sejauh mana bank pusat global akan bertindak balas terhadap kejutan harga minyak, dengan sesetengah negara mungkin mengambil langkah dasar monetari yang lebih ketat untuk menangani tekanan inflasi.

"Kemungkinan kenaikan kadar faedah AS pada mesyuarat pada September adalah tinggi. Kesemua faktor ini dilihat menyokong dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.04 peratus kepada 101.169 mata,” katanya.

Sehubungan itu, ringgit berada dalam jajaran kecil hari ini, pada RM4.0833 hingga RM4.0908 berbanding dolar AS.

Mohd Afzanizam berkata, Bank Pusat Eropah (ECB) akan mengumumkan keputusan mengenai kadar dasarnya hari ini, dengan jangkaan konsensus bahawa kadar faedah yang menjadi penanda aras itu akan kekal tidak berubah.

"Bagaimanapun, kenyataan susulan akan menjadi lebih penting berikutan pasaran akan meneliti pendirian dasar bank pusat itu susulan perkembangan terkini di Asia Barat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5015/5041 daripada 2.5057/5081 semasa ditutup pada Rabu, bagaimanapun menurun berbanding euro kepada 4.6641/6686 daripada 4.6585/6631 dan merosot berbanding pound kepada 5.4647/4701 daripada 5.4612/4666 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.1 daripada 228.0/228.3 semasa ditutup pada Rabu, bagaimanapun menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1667/1701 daripada 3.1635/1668, merosot berbanding baht Thailand kepada 12.0860/1021 daripada 12.0787/0944 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.61/6.62 sebelum ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!