Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan tarif AS, ketegangan Asia Barat

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan tarif AS dan ketegangan Asia Barat. Gambar hiasan
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan tarif AS dan ketegangan Asia Barat. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ekoran peningkatan ketidaktentuan harga minyak mentah susulan gangguan trafik kapal di Asia Barat serta langkah terbaru AS untuk mengenakan tarif ke atas 60 negara, termasuk Malaysia.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun sedikit kepada 4.0885/0935 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0910 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang negara Asia mencatat prestasi bercampur-campur hari ini berikutan ketidaktentuan harga minyak mentah dan langkah tarif oleh AS, dengan pasangan dolar AS-ringgit diniagakan dalam julat sempit RM4.0890 hingga RM4.0977.

"Pertumbuhan global mungkin perlahan kerana tarif boleh mengganggu rantaian bekalan.

"Pada masa sama, sekatan berterusan di Selat Hormuz akan memberi tekanan terhadap harga minyak mentah. Jadi risiko luaran telah meningkat, yang boleh menyebabkan permintaan lebih tinggi terhadap dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan pihaknya akan terus mengadakan libat urus dengan AS mengenai tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas eksport Malaysia susulan isu berkaitan buruh paksa, yang mula berkuat kuasa hari ini.

Tarif 10 peratus itu mula berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai, selepas tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan mengikut Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, menurut MITI dalam kenyataan.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit ditutup dengan sedikit kecenderungan menyusut sebagai reaksi terhadap langkah tarif terkini oleh pentadbiran AS serta jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan yang sederhana apabila harga minyak meningkat minggu ini selepas konflik AS-Iran kembali memuncak.

"Harga minyak berkemungkinan kekal sebagai faktor terbesar. Kenaikan berterusan boleh mempengaruhi keputusan dasar Rizab Persekutuan jika pegawainya bimbang sekiranya inflasi tenaga merebak kepada bahagian ekonomi yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tidak seperti negara serantau lain, Malaysia merupakan pengeksport tenaga justeru ini bermakna ringgit masih boleh melemah berbanding dolar AS dalam persekitaran harga minyak yang tinggi dan pada masa sama mengatasi prestasi mata wang Asia yang lain.

Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4976/5008 daripada 2.5015/5041 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.6556/6613 daripada 4.6641/6686.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4442/4509 daripada 5.4647/4701.

Bagaimanapun, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau ASEAN.

Mata wang domestik meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.6/227.9 daripada 227.8/228.1 pada Khamis dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.62/6.63.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.1414/1606 daripada 12.0860/1021 serta hampir mendatar berbanding dolar Singapura kepada 3.1667/1708 daripada 3.1667/1701 semalam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!