Ringgit dibuka meningkat

RINGGIT memulakan urus niaga Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang susut nilai diasak kejatuhan harga saham susulan kebimbangan mengenai pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0785/0855 berbanding dolar AS daripada 4.0815/0850 yang dicatatkan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebimbangan itu dicetuskan oleh keraguan pelabur sama ada pelaburan selanjutnya dalam syarikat AI mampu menjana hasil mengikut tempoh yang disasarkan.
Beliau berkata, kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah utama negara maju itu juga makin reda selepas hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun merosot masing-masing 16 dan 17 mata asas kepada 4.64 peratus dan 4.95 peratus.
Selain itu, beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) juga susut 0.15 peratus kepada 101.625 mata.
"Namun, wujud kebimbangan yang makin meningkat terhadap prospek pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadikan keputusan menaikkan kadar faedah itu sebagai tidak realistik.
"Oleh itu, ringgit dijangka terus diniagakan dalam julat kecil hari ini yang seiringan dengan sentimen pasaran yang masih berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit naik berbanding euro kepada 4.5765/5843 daripada 4.5790/5830 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.6054/6100 daripada 2.6035/6057 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4664/4758 daripada 5.4659/4706.
Berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur pada sesi awal.
Ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.0852/1124 daripada 12.0973/1120 pada penutupan semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 225.8/226.3 daripada 225.9/226.3 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.42/6.43.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1941/1998 daripada 3.1917/1947 pada akhir urus niaga semalam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
