RCI Tabung Haji: Nyahklasifikasi laporan lengkap segera, elak terus jadi modal fitnah – Mujahid

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum segera bagi memastikan isu berkenaan tidak terus dijadikan modal politik.
Beliau berkata, langkah itu penting supaya isu TH tidak terus diputar-belitkan, khususnya berkaitan proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi berkenaan antara 2018 hingga 2020.
Mujahid juga merupakan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, sejak awal 2023 beliau beberapa kali membangkitkan perkara itu di Dewan Negara dengan bertanyakan bilakah laporan RCI berkenaan akan didedahkan kepada awam.
"Jawapan yang saya dapat daripada menteri bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan ialah laporan berkenaan masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, pendedahan laporan RCI itu perlu bagi mengelakkan isu berkenaan terus menjadi bahan politik, memandangkan kontroversi TH sebelum ini banyak berkisar kepada dakwaan serta tuduhan berhubung usaha pemulihan yang dilaksanakan pada tempoh 2018 hingga 2020.
"Saya menuntut di Dewan Negara yang mulia pendedahan RCI ini untuk mengelakkan isu ini menjadi tujuan politik memandangkan isu TH ini berlegar sekitar memutar-belitkan isu pemulihan TH dari 2018 hingga 2020," katanya.
Mujahid berkata, ketika memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Agama dari 2018 hingga 2020, beliau bertanggungjawab memulakan dan melaksanakan operasi penstrukturan semula Tabung Haji yang ketika itu berada dalam keadaan defisit dengan jurang antara aset dan tanggungan berjumlah RM10 bilion.
Menurutnya, inisiatif pemulihan itu kemudiannya dijadikan kesempatan oleh parti politik tertentu, khususnya Pas dan UMNO yang ketika itu menjadi pembangkang, untuk menyerangnya dengan dakwaan bahawa aset TH dijual oleh beliau dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Katanya, cybertrooper Pas dan UMNO termasuk beberapa pemimpin parti berkenaan terus menyebarkan dakwaan berkaitan TH sehingga meletakkan namanya sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab merosakkan institusi berkenaan.
"Saya telah menghadiri debat awam anjuran Sinar Harian (rujuk debat Tabung Haji di YouTube) pasca kejatuhan PH 2020 menjawab segala fitnah berhadapan dengan mantan Pengerusi TH, Datuk Seri Aziz Rahim ketika itu," katanya.
Mujahid berkata, beliau turut mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap Setiausaha Agung UMNO berhubung dakwaan mengenai saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan dilepaskan.
Katanya, pihak terbabit kemudiannya memohon maaf secara terbuka sebagai syarat penyelesaian yang dicapai di luar mahkamah.
Beliau berkata, beliau turut disaman oleh bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Shah Alam, Ahmad Dusuki Abdul Rani selepas menjawab dakwaan bahawa aset TH telah dijual kepada bukan Islam.
"Namun beliau kalah dalam samannya kerana komen saya kepada fitnahnya itu adalah adil dan berjustifikasi. Beliau diarahkan membayar kepada saya kerana kalah dalam samannya," katanya.
Mujahid berkata, reputasinya terjejas akibat penyebaran dakwaan di media sosial yang mengaitkan beliau sebagai individu bertanggungjawab menjual aset TH kepada bukan Islam serta menteri yang merosakkan TH.
Katanya, keadaan itu berlaku walaupun beliau memperoleh kemenangan dalam kes mahkamah berkaitan dan penjelasan mengenai isu berkenaan telah disiarkan menerusi media sosial serta portal berita utama.
Beliau berkata, sehingga kini isu TH masih digunakan bagi memburukkan PH dan dirinya dalam kempen pilihan raya negeri, termasuk yang terkini di Johor dan kini di Negeri Sembilan.
Menurutnya, sudah tiba masanya laporan RCI TH didedahkan bagi menjawab persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku dalam TH serta pihak yang berusaha menyelamatkan institusi itu.
Mujahid berkata, RCI TH dimulakan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas diasak oleh PAS yang ketika itu menjadi kerajaan.
Katanya, beliau turut dipanggil sebagai saksi di hadapan panel suruhanjaya sebagai menteri bertanggungjawab ketika usaha pemulihan TH dilaksanakan.
"Saya bertanggungjawab penuh atas semua kenyataan yang saya berikan kepada anggota panel dan pengerusi panel Suruhanjaya untuk dibuat penilaian di mana asasnya saya telah menjual aset TH dan apakah motif sebenarnya penstrukturan semula tahun 2018-2020 yang saya mulakan," katanya.
Beliau berkata, semua dokumen yang diperakui telah dikemukakan sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh panel RCI yang kompeten dan bebas politik.
Mujahid berkata, beliau sendiri tidak sabar untuk melihat laporan berkenaan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar berkaitan TH dari 2014 hingga 2020, termasuk pihak yang bertanggungjawab merosakkan TH dan peranan beliau dalam usaha memulihkan kembali institusi itu.
"Hanya Allah tempat saya mengadu selama beberapa tahun ini agar fakta dan bukan auta yang akan menjadi penilaian umat Islam terhadap usaha PH sebelum ini yang berusaha memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam dan siapa yang sebenarnya merosakkan Tabung Haji," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera mendedahkan laporan RCI Tabung Haji kepada umum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

