'Lima anak tak sabar ke sekolah, 19 tahun kami tunggu saat ini'

KUALA KRAI - "Lima anak sudah tidak sabar ke sekolah, 19 tahun saya dan suami menantikan saat ini."
Demikian kata Nor Syuhada Wahad, 40, ibu kepada lapan orang anak ketika ditemui Kampung Johal di sini pada Khamis.
Suri rumah ini cukup terharu dan bersyukur apabila 19 tahun penantian dia dan suami, Zapni Abd Wahab, 53, yang bekerja kampung untuk melihat lapan anak mereka memiliki sijil kelahiran akhirnya tercapai.
"Bukan kami tidak ingin berusaha. Tetapi kedudukan rumah di pedalaman dan hanya boleh keluar ke bandar Kuala Krai menggunakan bot antara penyebabnya.
"Kami perlu menaiki bot selama hampir 45 minit menyelusuri Sungai Kelantan dengan tambang RM7 pergi dan RM7 balik, manakala suami hanya bekerja kampung," katanya.
Sebelum itu, keluarga Nor Syuhada dan Zapni menerima sijil kelahiran sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias.
Lapan anak mereka adalah Muhammad Hamizul, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.
Menurut Nor Syuhada, dengan adanya sijil kelahiran lima anaknya akan dapat mendaftar ke sekolah pada awal tahun hadapan.
Ujarnya, sebelum ini hanya anak sulung dan kedua bersekolah walaupun tanpa sijil kelahiran serta hanya mampu bertahan sehingga Tahun Dua sahaja.
"Mereka berdua yang ajar adik-adik membaca serta mengira di rumah walaupun hanya mengenal huruf.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada JPN, NGO Jejak Jalanan serta semua pihak terlibat, kami sangat terhutang budi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

