4,598 daftar kelahiran lewat, ramai tampil bila mahu sekolah atau kahwin

Badrul Hisham (dua dari kiri) semasa menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni di Kampung Johal, Kuala Krai sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
Badrul Hisham (dua dari kiri) semasa menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni di Kampung Johal, Kuala Krai sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
A
A
A

KUALA KRAI - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan seramai 4,598 individu memohon pendaftaran kelahiran lewat di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, mereka ini percayai hanya tampil apabila berdepan kesukaran mendaftarkan anak ke sekolah, memohon kad pengenalan atau ingin melangsungkan perkahwinan.

Menurut beliau, kelewatan mendaftarkan kelahiran memberi implikasi besar kepada kehidupan seseorang kerana menjejaskan urusan mendapatkan dokumen pengenalan diri serta akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan.

"Pendaftaran kelahiran merupakan hak asas setiap individu sebagai warganegara yang membuka laluan kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan lain.

"Sedangkan pendaftaran kelahiran adalah perkara paling asas yang perlu diselesaikan sebaik bayi dilahirkan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum itu, beliau menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni Abd Wahab, 53, di Kampung Johal di sini sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Lapan anaknya itu adalah Muhammad Hamizul, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.

Badrul Hisham memberitahu, kegagalan mendaftarkan kelahiran sebelum ini kebanyakannya berpunca daripada masalah keluarga, termasuk ibu bapa yang tidak mempunyai dokumen perkahwinan selain kekangan pengangkutan untuk hadir ke pejabat JPN.

Ujarnya, setiap kelahiran di Malaysia wajib didaftarkan dalam tempoh 60 hari tanpa mengira sama ada bayi dilahirkan di hospital atau di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Isu seperti perkahwinan belum didaftarkan atau status kewarganegaraan ibu bapa tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menangguhkan pendaftaran kelahiran kerana maklumat pada sijil lahir boleh dikemas kini kemudian selepas dokumen sokongan atau perintah mahkamah diperoleh," katanya.

Menurut beliau, JPN akan terus mempergiat usaha turun padang terutama ke kawasan pedalaman bagi memastikan tiada rakyat Malaysia tercicir daripada memiliki dokumen pengenalan diri.

Beliau turut menjelaskan ujian DNA bukan syarat wajib bagi semua permohonan, sebaliknya hanya dijadikan dokumen sokongan sekiranya terdapat keraguan mengenai hubungan kekeluargaan.

"Paling penting, ibu bapa jangan bertangguh. Daftarkan kelahiran anak secepat mungkin supaya hak mereka sebagai warganegara dapat dipelihara dan masa depan mereka tidak terjejas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!