Kebakaran: Operasi Pasar Borong Selangor tidak terjejas, pasar baharu dibina tahun depan

SERDANG - Operasi perniagaan di Pasar Borong Selangor di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini berjalan seperti biasa meskipun tiga kedai di pekarangan pasar berkenaan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tiga premis berkenaan melibatkan sebuah kedai menjual barangan dapur, kedai pemborong telur dan kedai perkakasan.
"Bagi PKPS selaku pihak yang menguruskan operasi Pasar Borong Selangor, saya ingin nyatakan operasi di sini tidak terjejas. Premis lain beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita di pasar borong berkenaan di sini hari ini.
Mengenai perancangan masa depan Pasar Borong Selangor, beliau berkata, kerajaan negeri sedang memuktamadkan perancangan untuk menggantikan kemudahan itu kepada sebuah pasar raya moden dengan pembinaannya dijangka pada awal tahun hadapan.
Izham berkata, projek pembinaan semula pasar borong terbesar di bawah kendalian PKPS itu kelak akan memberi penekanan khusus terhadap kemudahan perniagaan berpusat dan tahap pematuhan keselamatan bangunan yang lebih baik.
Kebakaran bermula kira-kira jam 11 malam tadi yang melibatkan kawasan seluas 400 meter persegi berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi hasil tindakan pantas 68 anggota bomba berserta 16 jentera pelbagai jenis, dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata laporan punca kebakaran akan disiapkan dalam tempoh 14 hari selepas siasatan forensik dimulakan.
"Ketika ini bomba menjalankan operasi forensik di lokasi kebakaran. Tiada mangsa terlibat dan pemilik ketiga-tiga premis juga telah mengesahkan semua pekerja mereka selamat dan tidak ada di premis ketika kejadian,” katanya.
Sementara itu, pemilik premis barangan dapur yang musnah dalam kebakaran itu, Lee Chee Leong, 42, berkata, dia menerima panggilan daripada pekerjanya kira-kira 11 malam memaklumkan mengenai kejadian sebelum tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
Chee Leong yang menjalankan perniagaan itu sejak 18 tahun lepas berkata pekerjanya tidak sempat melakukan sebarang usaha memadamkan kebakaran kerana api merebak dengan pantas.
"Apabila saya sampai, api sudah marak," katanya sambil menambah kerugian akibat kejadian itu dianggarkan mencecah jutaan ringgit apabila keseluruhan stok barangan hangus dijilat api. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
