RM377,000 lesap gara-gara terpedaya 'berita baik'

A
A
A

KUANTAN - Pengurus sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan elektrikal di sini kerugian RM377,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran tender tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, wanita tempatan berusia 49 tahun itu mendakwa dihubungi individu tidak dikenali pada Rabu menawarkan tender pembekalan papan litar elektrik.

Menurutnya, mangsa diyakinkan syarikatnya berjaya memperoleh tender berkenaan dan dikehendaki membuat bayaran sebagai syarat untuk mendapatkan tender tersebut.

"Terpedaya dengan 'berita baik' itu, mangsa membuat satu transaksi bayaran berjumlah RM377,000 daripada akaun bank milik syarikatnya ke akaun bank atas nama sebuah syarikat lain.

"Mangsa syak ditipu apabila gagal menghubungi pihak yang menawarkan tender tersebut selepas bayaran dibuat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Azry Akmar berkata, menyedari ditipu tawaran tender tidak wujud itu, mangsa kemudian menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya syarikat dan usahawan, supaya membuat semakan terperinci terhadap mana-mana tawaran tender sebelum membuat sebarang pembayaran.

"Jangan mudah mempercayai tawaran yang diterima melalui panggilan telefon, aplikasi pesanan atau media sosial tanpa pengesahan daripada agensi atau syarikat yang sah.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta segera menghubungi NSRC di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!