Selepas teruk dikecam, menteri Indonesia nafi enggan sambut salam pegawai bawahan

JAKARTA – Menteri Kerja Raya Indonesia, Dody Hanggodo menafikan dakwaan bahawa beliau enggan bersalaman dengan kakitangannya serta menggunakan jet peribadi ketika mengadakan lawatan kerja ke wilayah timur negara itu.
Beliau berkata, dakwaan yang timbul susulan sebuah video tular di media sosial itu tidak tepat dan menegaskan tidak pernah memilih dengan siapa untuk bersalaman, apatah lagi melibatkan kakitangannya sendiri.
“Saya tidak pernah memilih untuk bersalaman, lebih-lebih lagi dengan kakitangan saya sendiri,” katanya pada Rabu, lapor media tempatan.
Mengulas dakwaan penggunaan jet peribadi, Dody menjelaskan pesawat yang digunakan sebenarnya milik Kementerian Pengangkutan Indonesia dan bukannya pesawat sewaan persendirian.
Menurutnya, penerbangan itu dibuat kerana destinasi lawatan tidak mempunyai perkhidmatan penerbangan komersial.
Beliau berkata, penggunaan pesawat tersebut merupakan hasil penyelarasan antara kementerian, dengan kos penerbangan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan yang disalurkan kepada Kementerian Pengangkutan sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan.
Kontroversi itu tercetus selepas rakaman video berdurasi 15 saat yang memaparkan lawatan kerja Dody tular di media sosial hingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya.
Memetik laporan portal aktual.com, video berkenaan menunjukkan Dody turun daripada sebuah pesawat yang didakwa digunakan untuk lawatan kerja sebelum dilihat tidak menyambut huluran salam seorang petugas, sebaliknya terus bersalaman dengan individu lain yang berada di sebelahnya.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi negatif dan kritikan keras dalam kalangan pengguna media sosial.
Ada yang menganggap tindakan menteri berkenaan sebagai mengabaikan petugas bawahannya, manakala sebahagian lagi mempersoalkan dakwaan penggunaan jet peribadi ketika menjalankan urusan rasmi.
Bagaimanapun, Dody menegaskan kedua-dua dakwaan itu tidak berasas dan meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan rakaman video yang tidak memaparkan keseluruhan kejadian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

