Isu boikot: Rakyat Singapura masih ke Johor seperti biasa

Sempadan Johor- Singapura - Gambar hiasan
Sempadan Johor- Singapura - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU- Johor masih menerima kedatangan pelancong dari Singapura, walaupun segelintir rakyat negara itu dikatakan bertindak membatalkan kunjungan ke negeri ini untuk membeli barangan persiapan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan yang erat dan sentiasa mengekalkan keharmonian antara satu sama lain.

"Kita berkongsi warisan budaya dan hubungan sosial yang sama dan saya tidak melihat bagaimana perbincangan konstruktif antara dua negara akan memberi kesan terhadap hubungan baik dua negara berjiran ini.

"Malah, kami terus menerima sambutan yang baik berhubung kedatangan pelancong dari Singapura dan ia terbukti menerusi aliran lalu lintas dari dua pintu masuk di Johor,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan terdapat pelancong Singapura membatalkan hasrat berbelanja di Johor kerana ketegangan hubungan antara Malaysia-Singapura melibatkan beberapa isu bilateral, baru-baru ini.

Cai Tung berkata Bazar Tahun Baru Cina di sekitar bandar raya ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada penduduk tempatan dan rakyat Singapura kerana harga yang murah ditawarkan bagi produk bermusim seperti kuih muih, barang perhiasan serta hadiah.

Beliau berkata pihaknya mengharapkan hubungan kukuh antara dua negara dikekalkan selain meminta Singapura berusaha untuk menggalakkan hubungan dua hala yang baik.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghoa Johor Bahru (JBCCCI), Low Kueck Shin berkata tindakan segelintir kumpulan ‘memboikot’ Johor tidak menjejaskan perniagaan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga kini masih ramai pengunjung dari republik itu datang melancong dan berbelanja ke bandar raya ini.

"Apa yang saya lihat, keadaan masih sama, masih ramai pelancong dari negara jiran itu dan tidak menjejaskan perniagaan di sini.

"Saya yakin mereka tetap akan datang ke sini (Johor) kerana harga di sini jauh lebih rendah berbanding negara mereka dan mereka mempunyai kuasa membeli bila berada di sini,” katanya.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor Hussein Ibrahim pula berpendapat tindakan berkenaan hanya dilakukan segelintir pihak yang terlalu fokus pada isu politik.

"Apa yang saya lihat, kedatangan rakyat Singapura di Johor masih ramai dan seperti biasa, jadi saya rasa tiada apa-apa masalah," katanya.

Beliau turut yakin rakyat dari negara berkenaan akan terus datang ke negeri ini apatah lagi dengan ketibaan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.- Bernama.