Ahmad Redzuan-Si Yan terus menyala di Titiwangsa

Ahmad Redzuan Foto: BAM
Ahmad Redzuan Foto: BAM
A
A
A

BEREGU campuran negara, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad-Teh Si Yan, meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke pusingan seterusnya Kejuaraan Badminton Remaja Antarabangsa Petronas 2026 pada Rabu.

Pasangan negara itu menewaskan rakan senegara, Yee Tian Ci-Lee Weng Yan, 21-13, 21-13 dalam tempoh 28 minit di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ahmad Redzuan dan Si Yan melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi mereka selepas berjaya mengawal permainan sejak awal hingga tamat perlawanan.

Si Yan berkata, sokongan dan dorongan berterusan daripada Ahmad Redzuan banyak membantunya mengekalkan keyakinan sepanjang aksi berlangsung.

Sementara itu, Ahmad Redzuan, yang juga dikenali Waqqa, menegaskan bahawa fokus menjadi kunci utama kemenangan mereka.

Katanya, sokongan terhadap pasangan, terutama pada saat-saat genting, turut memainkan peranan penting dalam memastikan rentak permainan kekal stabil.

“Kami hanya bermain secara agresif dan mengekalkan fokus terhadap permainan sendiri,” katanya.

Mengulas cabaran seterusnya, Ahmad Redzuan berkata, mereka perlu mengurangkan kesilapan mudah bagi memastikan persembahan lebih mantap pusingan seterusnya.

Dalam satu lagi aksi beregu campuran, Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta turut mencatat kemenangan mudah apabila menewaskan pasangan Filipina, Imari Dawn Jimenez-Ralph Nino Dalojo, 21-7, 21-9 dalam tempoh hanya 20 minit.

Artikel Berkaitan:

Bagi acara perseorangan wanita, Chua Jing Xuan menundukkan rakan senegara, Chong Wan Xin, 21-17, 21-16.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang menewaskan Wong Yin Heng 21-13, 21-9.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!