Petronas mampu terus berkembang di bawah kerajaan Persekutuan BN-PN: Zaid

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Zaid Ibrahim berpandangan Petronas mampu terus berkembang tanpa sebarang halangan sekiranya kerajaan Persekutuan diterajui gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, kerjasama antara UMNO dan Pas bukan sahaja berpotensi membentuk sebuah kerajaan Persekutuan pimpinan Melayu yang lebih kukuh, malah mampu menyediakan ruang lebih luas untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan di peringkat nasional.
Pandangan itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook yang menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.
“Kita boleh memastikan Petronas kekal kukuh dan tidak dihalang dalam pertumbuhannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaid menyifatkan kerjasama BN-PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai satu perkembangan bersejarah kerana berjaya menyatukan UMNO dan Pas di bawah satu wadah.
Menurutnya, pilihan raya tersebut bukan sekadar melibatkan pertukaran tampuk pentadbiran negeri, sebaliknya menjadi titik penting dalam usaha membentuk semula hala tuju negara.
“Pilihan raya Negeri Sembilan bukan sekadar mengenai pertukaran menteri besar, tetapi tentang membentuk semula Malaysia menjadi tempat yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan yang dibentuk melalui gabungan berkenaan berupaya melaksanakan semakan menyeluruh terhadap tanah rizab Melayu, termasuk mengenal pasti kawasan yang telah dinyahwartakan serta menentukan tanah yang perlu diganti dan dibangunkan.
“Kerajaan pimpinan Melayu yang kukuh akan membolehkan semakan besar-besaran terhadap tanah rizab Melayu diterajui kerajaan Persekutuan.
“Kawasan mana yang telah dinyahwartakan, dan kawasan mana yang perlu kita ganti serta bangunkan?” katanya.
Dalam masa sama, Zaid turut mencadangkan supaya sebuah dana khas diwujudkan bagi membangunkan sebahagian daripada 4.9 juta hektar tanah rizab Melayu di negara ini.
Beliau juga mencadangkan supaya bayaran pajakan tahunan kepada Kedah dinaikkan kepada RM250 juta berbanding RM10 juta ketika ini.
“Kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk keadilan sosioekonomi rakyat seperti yang dituntut Islam,” katanya.
Kenyataan Zaid berhubung Petronas hadir ketika isu melibatkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) terus menjadi perhatian, susulan usaha Sarawak memperkukuhkan peranannya dalam pengurusan sumber petroleum dan gas di negeri itu.
Pertikaian berhubung isu tersebut berulang kali menguji hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ordinan Perlombongan Minyak negeri serta kedudukan Petronas sebagai syarikat minyak negara berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Sebelum ini, Zaid turut mengingatkan agar pertikaian berkenaan tidak ditangani melalui pendekatan berbentuk tekanan atau ugutan.
Pada November 2024, beliau membidas cadangan seorang wakil rakyat Sarawak yang menyatakan Petronas boleh dihalang daripada beroperasi di negeri itu sekiranya Petros diketepikan dalam perniagaan pengagregatan gas.
“Berundinglah dengan kami tanpa ugutan,” katanya ketika itu sambil menegaskan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu mencari penyelesaian terbaik tanpa mengancam operasi Petronas sebagai sebuah institusi strategik negara.
Isu Petronas-Petros kini tidak lagi dilihat sebagai pertikaian komersial semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi perdebatan yang melibatkan keseimbangan kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri, hak Sarawak serta kawalan terhadap sumber strategik yang penting kepada aspirasi pembangunan negeri itu dan masa depan sektor tenaga negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
