Glasgow 2026 bukan wajah sebenar Sukan Komanwel

FORMAT penganjuran berskala kecil yang digunakan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini tidak semestinya menjadi hala tuju tetap temasya sukan itu pada masa hadapan.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz.berkata, pengurangan jumlah sukan dan penggunaan venue pertandingan sedia ada pada edisi kali ini dipengaruhi faktor tempoh persiapan yang singkat selepas Victoria, Australia menarik diri sebagai tuan rumah.
Beliau berkata, Sukan Komanwel seterusnya di Ahmedabad, India dijangka kembali kepada program yang lebih besar dengan mempertandingkan sekitar 17 hingga 20 jenis sukan.
“Saya tidak nampak begitu (hala tuju baharu). Saya difahamkan Sukan Komanwel akan datang diadakan di Ahmedabad dan dijangka kembali kepada bilangan sukan asal.
“Apa yang berlaku di Glasgow kali ini adalah kerana Victoria menarik diri pada saat akhir. Jadi, dalam mesyuarat ketua kontinjen hari ini, kami dimaklumkan Glasgow mempunyai masa yang singkat, iaitu kurang dua tahun untuk menganjurkan temasya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau sesi latihan skuad gimnastik artistik di Glasgow International Arena, di sini, pada Rabu.
Glasgow 2026 hanya mempertandingkan 10 jenis sukan berbanding 20 pada edisi Birmingham 2022, dengan semua acara berlangsung di empat lokasi utama yang menggunakan kemudahan sedia ada bagi mewujudkan penganjuran yang lebih kecil dan menjimatkan kos.
Dalam pada itu, beliau berkata, kontinjen negara berada dalam keadaan baik menjelang temasya sukan empat tahun sekali dengan aspek kesihatan dan pencegahan kecederaan menjadi keutamaan.
“Berdasarkan sesi latihan yang telah dilawati, tahap kesiapsiagaan atlet berada dalam keadaan baik dan yang paling penting, mereka sihat.
“Latihan intensif sememangnya penting, namun pada masa sama kami perlu berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan, terutama dalam sukan yang mempunyai risiko kecederaan tinggi.
“Para atlet telah melalui tempoh persiapan yang panjang menjelang Sukan Komanwel ini. Jadi, amat penting untuk mereka berada pada tahap kecergasan terbaik, kekal sihat dan benar-benar bersedia apabila turun bertanding. Secara keseluruhannya, saya melihat persiapan mereka berada pada tahap yang baik,” katanya.
Awalan turut menasihatkan atlet yang baharu tiba supaya segera menyesuaikan waktu tidur mengikut waktu tempatan bagi mengurangkan kesan gangguan tidur sementara atau jet lag.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 40 atlet negara akan menyertai perbarisan upacara pembukaan di The Hydro pada awal pagi Jumaat dengan mengenakan baju batik bertemakan naratif khas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
