Glasgow 2026: Chun Chen sedia buat kejutan

Chun Chen semasa sesi latihan di Arena Antarabangsa Glasgow pada Rabu. Foto: Bernama
Chun Chen semasa sesi latihan di Arena Antarabangsa Glasgow pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

 

TAHAP kesukaran rutin mampu menjadi senjata utama atlet gimnastik artistik negara, Ng Chun Chen, dalam memburu pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

 

Chun Chen berkata, tidak ramai pesaing di Glasgow memiliki lompatan dengan tahap kesukaran sepertinya, sekali gus memberi ruang kepadanya untuk mencabar kelompok terbaik dan mengintai kedudukan podium.

 

Beliau yang bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel bagaimanapun berkata, kelebihan itu hanya bermakna sekiranya disertai persembahan yang kemas dan konsisten sepanjang pertandingan.

 

“Dari segi tahap kesukaran, saya rasa tidak ramai gimnas di sini melakukan lompatan seperti saya. Itu mungkin memberi satu peluang, tetapi saya tetap perlu melakukan yang terbaik.

 

Artikel Berkaitan:

“Kalau tahap kesukaran tinggi tetapi pelaksanaannya tidak baik, hasilnya tetap sama. Jadi, saya perlu kekal konsisten,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad gimnastik artistik kebangsaan di Glasgow International Arena, di sini, pada Selasa.

 

Pada masa sama, beliau mengakui persiapannya tidak berjalan lancar apabila keadaan fizikalnya sedikit terganggu selain berdepan tempoh penyesuaian yang singkat selepas tiba lewat berbanding kebiasaan.

 

“Buat masa ini, semuanya masih boleh dikawal dan saya masih mampu menyesuaikan diri dengan peralatan serta keadaan tempat pertandingan. Apabila tiba hari pertandingan, kami perlu memberikan yang terbaik. Tiada ruang untuk alasan dan apa juga yang berlaku, kami perlu menghadapinya,” katanya.

 

Chun Chen turut menyifatkan sesi latihan pada Selasa berlangsung dengan pantas, sekali gus mengehadkan masa gimnas menyesuaikan diri dengan peralatan serta suasana dewan pertandingan.

 

Namun, beliau berkata, pengalaman beraksi dalam pelbagai kejohanan sebelum ini membantu dirinya menyesuaikan diri dengan perbezaan peralatan dan keadaan pertandingan.

 

“Peralatan di setiap negara dan benua tidak sama. Jadi, cabaran utama ialah menyesuaikan diri secepat mungkin. Kami sudah berada di sini, jadi segala perkara negatif perlu diketepikan. Fokus sekarang adalah untuk memberikan segala-galanya ketika pertandingan,” katanya.

 

Saingan gimnastik artistik dijadualkan berlangsung dari Jumaat hingga Selasa ini.

 

Selain Chun Chen, skuad lelaki negara turut dibarisi Muhammad Sharul Aimy dan Luqman Al Hafiz Zulfa, manakala cabaran wanita digalas Rachel Yeoh, Yeap Kang Xian dan Cadence Teh. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!