Bukan sekadar jawatan, Timbalan Exco mahu bawa perubahan

Dari kiri: Syed Hussein, San San dan Nadhirah Afiqah.
Dari kiri: Syed Hussein, San San dan Nadhirah Afiqah.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Pelantikan Timbalan Exco Johor buat pertama kali menjadi langkah memperkukuh usaha kerajaan negeri memastikan pembangunan dan manfaat pelaburan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh Bangsa Johor.

Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah kerana perlu membantu merealisasikan agenda Maju Johor 2030.

Menurutnya, pembangunan dan pelaburan yang masuk ke Johor perlu memberi impak kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar dan daerah yang jauh dari pusat pertumbuhan utama.

"Ini satu tanggungjawab yang sangat berat kerana banyak perkara perlu kita lakukan bagi mencapai misi Maju Johor 2030.

"Kita mahu pelaburan yang diterima bukan hanya tertumpu di sesuatu kawasan, tetapi manfaatnya dapat dirasai seluruh Bangsa Johor, bukan sahaja di Johor Bahru dan selatan, malah hingga ke utara Johor," katanya.

Sementara itu, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chan San San berkata, pengalaman mengendalikan isu sosial sebelum ini membantu tugasan baharu yang diamanahkan.

Katanya, pengalaman menguruskan kes berkaitan keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan kebajikan masyarakat sebelum ini memberi gambaran jelas mengenai cabaran yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

"Saya akan gunakan pengalaman yang ada sebelum ini untuk membantu, khususnya dalam mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu yang dihadapi masyarakat.

"Kita perlu melihat pendekatan yang terbaik untuk menangani perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim berkata portfolio berkenaan dekat dengan dirinya kerana sebelum ini aktif dalam pelbagai program melibatkan golongan belia.

"Portfolio ini tidak asing bagi saya kerana sebelum ini di kawasan pun saya aktif dalam program-program belia.

"Saya akan buat yang terbaik untuk negeri Johor bersama-sama Mohd Hairi Mad Shah (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!