DAP persoal tujuan, kos pelantikan Timbalan Exco Johor

Bor Yang
Bor Yang
A
A
A

KULAI – Kerajaan Johor digesa menjelaskan secara terperinci tujuan pelantikan jawatan baharu Timbalan Exco termasuk skop tugas serta implikasi kewangan yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai daripada DAP, Wong Bor Yang berkata, pelantikan Timbalan Exco yang pertama dalam sejarah Johor diumumkan kerajaan negeri sebagai langkah memperkukuh kecekapan pentadbiran.

Bagaimanapun katanya, persepsi umum melihat langkah itu sebagai satu pengaturan politik bagi menangani keadaan jumlah wakil rakyat blok kerajaan yang ramai berbanding jawatan Exco yang terhad.

“Jika benar mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha mengurangkan birokrasi dan kerenah pentadbiran, bukannya mewujudkan jawatan baharu yang kuasa serta fungsinya tidak diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan Negeri Johor.

“Ini hanya boleh menimbulkan kekeliruan dari segi bidang kuasa serta menjejaskan kecekapan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan jawatan Timbalan Exco yang akan disandang 10 ADUN bagi menambah kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu itu, Bor Yang menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai langkah politik utama pertama selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus mempunyai implikasi terhadap hala tuju pentadbiran negeri.

Menurutnya, ruang semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga didakwa semakin mengecil sejak penggal lalu apabila tempoh persidangan dipendekkan daripada tujuh hari kepada lima hari, manakala masa perbahasan ADUN dikurangkan daripada 20 minit kepada 15 minit.

“Sekiranya selepas ini soalan yang sepatutnya dijawab sendiri oleh Exco boleh diserahkan kepada Timbalan Exco untuk menjawab, maka fungsi semak dan imbang DUN akan menjadi semakin lemah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bor Yang turut membangkitkan kedudukan kewangan negeri dengan merujuk Belanjawan Johor 2026 yang menganggarkan hasil negeri sebanyak RM2.550 bilion, manakala perbelanjaan pula RM2.546 bilion.

Katanya, walaupun kerajaan negeri sering menekankan hasil negeri mencatat rekod tertinggi, peningkatan perbelanjaan juga perlu diberi perhatian.

“Rakyat berharap peningkatan hasil negeri diterjemahkan kepada pentadbiran lebih cekap dan perkhidmatan awam lebih baik, bukannya penambahan jawatan serta kos pentadbiran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa selepas pindaan Perlembagaan Negeri Johor, kerajaan negeri mempunyai kuasa melantik sehingga lima ADUN lantikan, yang turut melibatkan penggunaan dana awam dan kos pentadbiran.

Sehubungan itu, Wong berkata rakyat mengharapkan kerajaan negeri baharu mengamalkan prinsip ketelusan, akauntabiliti serta kebertanggungjawaban fiskal dalam memastikan setiap jawatan baharu diwujudkan benar-benar demi kepentingan rakyat dan bukan sebagai ganjaran politik.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!