Malam Berselawat Menjunjung Daulat 2.0 Sabtu ini di Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang

SHAH ALAM - Susulan sambutan memberangsangkan diterima menerusi Malam Berselawat Menjunjung Daulat (MBMD) pada 17 Jun lalu, penganjuran kedua iaitu MBMD 2.0 kembali lagi Sabtu ini bertempat di Masjid Jamek Ar-Rahimiah Bandar Diraja Klang, Selangor.
Pengerusi Sekretariat MBMD 2.0, Angah Sunan berkata, program dengan tema 'Junjung Daulat, Jelata Masyarakat' itu diadakan bukan sahaja berhasrat menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, tetapi juga bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap peranan institusi diraja sebagai salah satu tiang seri negara.
Menurut beliau, keperluan mengadakan acara sedemikian amat penting dalam usaha memelihara kedaulatan, agama Islam, keluhuran perlembagaan dan perpaduan rakyat berbilang kaum.

"Ia kesinambungan program MBMD 1.0 di Masjid Bandar Saujana Putra, Jenjarom yang berjaya menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung melalui pendekatan berteraskan pengisian kerohanian, pendidikan, sejarah, warisan dan pembangunan komuniti.
"Jadi, kami bersama gabungan rakan strategik mengetengahkan usaha mempertahankan institusi diraja Selangor. Iyalah sekarang pun banyak isu yang menyentuh 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyampaikan kesedaran kepada masyarakat khususnya generasi muda.
"Tetapi, generasi muda ini walaupun dilihat kurang ilmu tentang kepentingan mendukung institusi diraja, mereka terbuka untuk belajar dan ambil tahu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Karangkraf, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Projek Khas Yayasan Kebajikan Adam (ACF), Shahril Nizam Mokhtar dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
MBMD 2.0 bakal berlangsung dari jam 1 petang hingga 11 malam dengan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi, pameran sejarah dan kesultanan, pameran Al-Quds, persembahan seni budaya, kuliah Maghrib, penyampaian bakul kasih, majlis selawat, tausiyah dan doa munajat serta deklarasi Muafakat Jelata Menjunjung Daulat (MJMD).
MJMD merupakan gerakan masyarakat yang menghimpunkan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), agamawan, sukarelawan, aktivis dan pelbagai rakan strategik dalam usaha memperkukuhkan muafakat, pembangunan insan serta kesedaran kenegaraan.
Orang Besar Daerah (OBD) Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Senator Datuk Seri Profesor Emiritus Dr Awang Sariyan turut hadir selaku panel penceramah MBMD 2.0 yang dijangka berlangsung selepas solat Isyak.
Masyarakat bukan Islam juga digalakkan hadir kerana pengisian aktiviti tidak hanya tertumpu kepada komuniti Islam semata-mata antara lain jualan makanan dan minuman, demonstrasi masakan tradisional kaum Melayu, Cina dan India serta saringan pemeriksaan kesihatan.
Teras konsep digariskan kepada empat iaitu mahabbah, pengimarahan institusi masjid, jati diri dan kenegaraan serta muafakat komuniti.
Mengulas lanjut, Angah memaklumkan pihaknya memberi jaminan hanya menyampaikan kesedaran perihal institusi diraja di dalam ceramah MBMD 2.0 dan bukannya berkisarkan isu politik.
Tambah beliau, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut memuji penganjuran program sebegini yang mengangkat topik kedaulatan negara selain ilmu keagamaan.
"Kebiasaannya kalau di masjid dianjurkan ceramah agama, hadis dan sebagainya. Kali ini lain sedikit kerana masjid menyediakan ceramah atau forum tentang raja.
"Inilah peranan atau fungsi masjid yang bukan sahaja dilihat sebagai pusat penyebaran dakwah Islam, tetapi juga pusat ketamadunan.
"Diharapkan program ini mampu menjadi wadah yang memperkukuhkan hubungan antara rakyat, ulama dan institusi Raja-Raja Melayu, sekali gus menyemarakkan lagi semangat cintakan agama, raja dan negara," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
