Makmal patologi baharu HRPZ II bernilai RM175 juta, perkasa rawatan pesakit Kelantan

KOTA BHARU – Kemudahan makmal patologi moden bernilai RM175 juta bakal dibangunkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bermula tahun depan bagi memenuhi keperluan teknologi perubatan terkini serta meningkatkan kecekapan rawatan pesakit.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun dan akan menggantikan bangunan makmal sedia ada yang tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.
“Makmal yang ada sebenarnya sudah lama dan ruangnya agak sempit walaupun peralatannya masih baharu.
“Dengan perkembangan teknologi semasa, kita memerlukan ruang yang lebih sesuai untuk menempatkan pelbagai sistem automasi dan peralatan makmal moden bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-21 Kolej Pakar Patologi, Akademi Perubatan Malaysia 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Menurut Dr Mohd Azman, bangunan baharu itu akan dibina di tapak HRPZ II dengan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk ruang makmal yang lebih luas, 125 petak parkir serta wad kelas pertama berkapasiti 40 katil.
Katanya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), patologi digital, genomik dan perubatan jitu kini mengubah landskap perkhidmatan makmal menerusi keupayaan menghasilkan keputusan yang lebih pantas, tepat dan konsisten.
Tambah beliau, kerajaan menanggung sebahagian besar kos perkhidmatan makmal bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan berkualiti pada kadar minimum.
“Pesakit hospital kerajaan hanya dikenakan caj sekitar RM3 bagi ujian darah asas walaupun kos sebenar pemeriksaan itu boleh mencecah sehingga RM50 bagi setiap ujian,” katanya.
Beliau menjelaskan, makmal patologi memainkan peranan penting sebagai pusat diagnosis kerana hampir semua pakar klinikal termasuk pakar bedah, pakar jantung dan pakar perubatan bergantung pada keputusan makmal sebelum menentukan rawatan pesakit.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menaik taraf kemudahan makmal hospital di seluruh negara secara berfasa selaras dengan perkembangan teknologi perubatan semasa.
Ini termasuk pembinaan makmal baharu di Hospital Kemaman, Hospital Lawas, Hospital Kapar, Hospital Petra Jaya, Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Perubatan Forensik Negara, Pusat Darah Wilayah Sabah dan Utara, Pusat Kanser Sarawak serta Pusat Kanser Wilayah Utara.
“Ketika ini, KKM mempunyai 151 makmal patologi di fasiliti hospital seluruh negara, manakala perkhidmatan makmal di fasiliti kesihatan primer melibatkan 825 fasiliti termasuk tujuh Pusat Transformasi Bandar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

