Lelaki didakwa seludup tembakau dalam penjara guna dron

MELAKA – Seorang penjual keropok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Nizam Ab Manaf, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat menyeludup masuk barang larangan, iaitu tembakau ke dalam kawasan Penjara Sungai Udang menggunakan dron yang berada dalam kawalannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1.20 pagi Rabu lalu di Taman Kris Satria, Sungai Udang, Melaka.
Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa menyeludup barang larangan, iaitu tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron yang berada dalam kawalannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada masa dan lokasi yang sama mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,700 sebulan hasil berniaga keropok.
Beliau berkata, tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan telah berkahwin dan merupakan pencari nafkah keluarga. Selain itu, beliau menegaskan bahawa tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah bukannya sebagai satu bentuk hukuman.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

