Pemilik kedai runcit, warga Bangladesh mengaku bersalah jual beli minyak masak peket

Muhammad Anwar (depan) dan Md Roshidul (dua dari kiri) mengaku bersalah membuat urusan jual beli minyak masak peket seberat 1kg pada 19 Julai lalu.
Muhammad Anwar (depan) dan Md Roshidul (dua dari kiri) mengaku bersalah membuat urusan jual beli minyak masak peket seberat 1kg pada 19 Julai lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH – Seorang pemilik kedai runcit mengaku bersalah menjual minyak masak peket kepada seorang lelaki warga asing di premisnya pada minggu lalu.

Muhammad Anwar Karthiban, 30, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Roslan Hamid di Mahkamah Sesyen 2, di sini pada pagi Rabu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Jawi didapati menjual barang kawalan, iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg seberat 1 kilogram (kg), sedangkan barang kawalan tersebut tidak boleh dijual kepada bukan warganegara Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis tanpa nama di Lingkaran Cassia Barat, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada jam 5.40 petang, 19 Julai lalu.

Oleh demikian, tertuduh yang sudah berkahwin didakwa melanggar Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026, yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 2(2) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2006).

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Alsad Nasrullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Alsad menawarkan bon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Beliau turut memohon syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri secara berkala kepada pegawai penyiasat di Pejabat KPDN serta tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan barang kawalan atau barang kawalan bersubsidi sepanjang kes dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuannya, Muhammad Anwar memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana isterinya dijangka bersalin pada hujung bulan ini.

Roslan kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan RM3,000 dengan penjamin warga tempatan selepas mengaku bersalah membuat urusan jual beli minyak masak peket seberat 1kg.
Kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan RM3,000 dengan penjamin warga tempatan selepas mengaku bersalah membuat urusan jual beli minyak masak peket seberat 1kg.

Sementara itu, pembeli warga Bangladesh, Md Roshidul Malitha, 44, turut mengaku bersalah atas pertuduhan membeli satu peket minyak masak daripada Muhammad Anwar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Oleh demikian, dia didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026, yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3(2) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang juga seorang pekerja kontrak boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Alsad menawarkan bon jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melaporkan diri secara berkala di Pejabat KPDN Pulau Pinang.

Tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan.

Roslan kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat KPDN Pulau Pinang sehingga kes selesai.

Kes ditangguhkan sehingga 21 Ogos bagi mendapatkan laporan kimia untuk mengesahkan barangan kawalan tersebut merupakan minyak masak tulen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!