Ambulans basikal berkuasa pedal cetus sindiran sinis

KARACHI - Pakistan menjadi bahan ejekan dalam talian selepas video sebuah ambulans basikal yang beroperasi di Karachi tular di media sosial.
Ramai warganet mempersenda kenderaan kecemasan berkuasa pedal itu dengan membandingkannya dengan unit rawatan rapi (ICU) terbang, ambulans udara dan perkhidmatan perubatan menggunakan dron di negara lain.
Perkhidmatan itu yang dilancarkan Datuk Bandar Karachi, Barrister Murtaza Wahab, baru-baru ini telah mencetuskan reaksi sinis pengguna media sosial.
Bagaimanapun, laporan media tempatan mengesahkan program ambulans basikal itu sebenarnya telah beroperasi sejak tahun lalu dan bukan inisiatif baharu.
Basikal tersebut diperkenalkan pada Mei 2025 oleh perkhidmatan penyelamat, Rescue 1122 sebagai sebahagian daripada program perintis.
Inisiatif itu bertujuan mempercepatkan tindak balas kecemasan di kawasan padat di Karachi terutamanya lokasi yang sukar diakses ambulans biasa akibat kesesakan lalu lintas dan lorong sempit.
Setiap basikal khas itu dilengkapi bekalan perubatan penting termasuk kit pertolongan cemas, topeng oksigen, nebulizer dan alat pemeriksaan gula dalam darah.
Petugas terlatih menggunakan basikal berkenaan untuk memberi rawatan awal serta menstabilkan pesakit sebelum ambulans biasa tiba.
Program itu turut mendapat perhatian kerana dikendalikan oleh sukarelawan wanita terlatih sebagai usaha untuk menggalakkan penglibatan golongan tersebut.
Walaupun menerima kritikan hebat, ramai pengguna berpendapat inisiatif itu merupakan penyelesaian praktikal dan kos rendah untuk membantu pesakit di kawasan yang sukar dicapai ambulans konvensional. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

