'Kunci tanpa rumah'

Setiap kunci itu melambangkan sebuah rumah termasuk kediamannya sendiri yang musnah akibat kempen pencerobohan Israel. - Foto AFP
Setiap kunci itu melambangkan sebuah rumah termasuk kediamannya sendiri yang musnah akibat kempen pencerobohan Israel. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Fatima Hajj Ali tidak dapat menahan sebak ketika memandang deretan kunci yang tergantung seperti loceng angin di siling sebuah muzium di Beirut.

Setiap kunci itu melambangkan sebuah rumah termasuk kediamannya sendiri yang musnah akibat kempen pencerobohan Israel.

Wanita berusia 23 tahun itu merupakan antara ribuan penduduk selatan Lubnan yang kehilangan tempat tinggal dalam konflik baru-baru ini.

"Kami sepatutnya pulang ke rumah dan membuka pintu dengan kunci ini. Tetapi, kini tiada lagi pintu untuk dibuka," katanya dalam nada hiba.

Gambar-gambar dipamerkan pada sebuah peta selatan Lubnan menerusi pameran Hkeeli ya Jnoub. - Foto AFP
Gambar-gambar dipamerkan pada sebuah peta selatan Lubnan menerusi pameran Hkeeli ya Jnoub. - Foto AFP

Walaupun pertempuran reda selepas Amerika Syarikat (AS) dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada 17 Jun lalu, serangan udara Zionis yang berlaku sekali-sekala masih berterusan.

Kemusnahan berskala besar menyebabkan ramai penduduk masih tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Pameran Hkeeli ya Jnoub atau 'Ceritakan Kepadaku, Wahai Selatan' di Muzium Beit Beirut itu memaparkan gambar dan video yang mengabadikan kenangan tentang selatan Lubnan yang kini diduduki Israel.

Artikel Berkaitan:

Semasa mengunjungi pameran itu, Fatima mengimbau kembali rumah keluarganya di Nabatieh al-Fawqa.

"Sebahagian rumah runtuh manakala separuh lagi masih utuh. Beirut mempunyai banyak tempat yang indah, tetapi ia bukan lagi menjadi tempat selamat buat kami.

Pameran itu juga bertujuan mengabadikan kenangan perkampungan di selatan Lubnan yang musnah akibat serangan Israel.- Foto AFP
Pameran itu juga bertujuan mengabadikan kenangan perkampungan di selatan Lubnan yang musnah akibat serangan Israel.- Foto AFP

"Saya sangat merindui suasana matahari terbenam dan laungan azan yang kedengaran dari hadapan rumah sambil menikmati secawan kopi," ujarnya.

Salah satu karya yang dipamerkan ialah Keys Without Homes (Kunci Tanpa Rumah) yang memaparkan rakaman video tiga penduduk selatan Lubnan yang masih menyimpan kunci rumah kediaman mereka walaupun rumah tersebut sudah tidak wujud lagi.

Artis berusia 36 tahun, Adeeb Farhat yang juga berasal dari selatan memberitahu idea itu tercetus ketika perang pada tahun 2024 apabila beliau bimbang akan kehilangan rumahnya sendiri.

"Saya sentiasa dihantui persoalan, apakah yang akan berlaku kepada rumah saya? Jika ia dibom, mungkinkah kami akan senasib dengan penduduk Palestin?" menurutnya.

Di wilayah Palestin, terdapat tradisi yang telah sekian lama diamalkan iaitu menyimpan kunci rumah yang mereka terpaksa tinggalkan semasa Hari Nakba (malapetaka) pada 1948. Ketika penubuhan negara haram Israel, kira-kira 760,000 penduduk Palestin diusir dari tanah air mereka.

'Apa yang masih tinggal'

Di ruang pameran, sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur telah dibina semula lengkap dengan balang kaca, teko kopi dan bekas rempah bagi menggambarkan kehidupan harian komuniti di selatan Lubnan.

Imej lama bandar pesisir Tyre, rakaman video hitam putih bandar Nabatieh dan buku catatan yang mengandungi kenangan pengunjung mengenai wilayah itu turut dipamerkan kepada umum.

Menerusi karya What Remains (Apa yang Masih Tinggal), Sama Beydoun, 29, yang kini menetap di Paris memaparkan gambar rumah datuknya di Bint Jbeil berhampiran sempadan Israel yang telah binasa teruk.

Sebahagian ruang pameran menampilkan semula suasana dalaman rumah penduduk selatan seperti ruang tamu dan dapur lengkap dengan barangan harian yang mencerminkan kehidupan mereka. - Foto AFP
Sebahagian ruang pameran menampilkan semula suasana dalaman rumah penduduk selatan seperti ruang tamu dan dapur lengkap dengan barangan harian yang mencerminkan kehidupan mereka. - Foto AFP

Masalah teknikal menyebabkan kebanyakan gambar dipamerkan kelihatan agak kabur yang memberikan gambaran seolah-olah berada dalam alam mimpi.

Foto esei berjudul Manufacturing Estrangements oleh Rawan Mazeh, 29, pula menceritakan kisah sepasang suami isteri yang pernah ditahan di Penjara Khiam, sebuah pusat tahanan yang terkenal ketika pendudukan Israel di selatan Lubnan.

Penjara itu dikendalikan oleh Tentera Selatan Lubnan, sebuah militia yang disokong Israel semasa pendudukan selama 22 tahun yang berakhir pada tahun 2000.

Mazeh berpendapat pameran itu telah mewujudkan satu ruang yang selesa untuk dikunjungi orang ramai dan merasakan hubungan yang lebih dekat dengan tanah air mereka. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!