AS nasihat rakyat tidak lakukan perjalanan ke Lubnan, utara Israel

ISTANBUL - Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menyeru rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Lubnan dan bahagian utara Israel berikutan "ketegangan yang tinggi" di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Berikutan ketegangan yang tinggi di Asia Barat, persekitaran keselamatan kekal kompleks dengan potensi berlakunya peningkatan ketegangan yang tidak dijangka," menurut Kedutaan AS di Beirut dalam satu kenyataan.
Kedutaan AS di Baitulmuqaddis turut mengeluarkan amaran serupa dengan menyatakan bahawa rakyat Amerika "tidak seharusnya melakukan perjalanan ke Gaza, utara Israel dan kawasan sempadan Mesir kecuali melalui lintasan Taba, serta mempertimbangkan semula perjalanan ke atau melalui Asia Barat.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila AS dan Iran saling melancarkan serangan, meskipun kedua-dua negara telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hasil pengantaraan Pakistan pada Jun bagi menamatkan peperangan serta mencapai perjanjian damai yang berkekalan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
