Penunggang motosikal maut kemalangan di NPE

PETALING JAYA - Seorang lelaki tempatan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 2.6 Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) menghala ke Kuala Lumpur pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi sistem NG999 pada jam 10.36 pagi.
"Siasatan awal mendapati sebuah Perodua Axia yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an sedang dalam perjalanan dari arah Subang menghala ke Taman Medan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut telah dilanggar pada bahagian sisi kanan oleh sebuah motosikal. Akibat kemalangan itu, mangsa berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Shukri Mat Idris di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
