'Suami sempat telefon tanya khabar anak-anak sebelum kemalangan'

TANAH MERAH - Isteri kepada mangsa kemalangan maut, Norazeman Abdul Aziz, 42, iaitu Noraida Talib, 46, berkata, suami sempat menghubunginya bertanyakan khabar anak-anak sebelum kejadian berkenaan.
Norazeman dan dua lagi sahabatnya maut di lokasi selepas lori yang membawa muatan ayam dari Utara ke Tendong, Pasir Mas dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat di sini pada Selasa.
Menurut Noraida, itu adalah perbualan terakhir mereka berdua dan sebelum kejadian suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

"Sudah 10 tahun suami bekerja sebagai pemandu lori untuk menyara kami sekeluarga.
"Saya dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa suami pada jam 7 pagi selepas dimaklumkan oleh rakannya. Mereka maklum suami sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini pada Selasa.
Terdahulu, seorang pemandu dan dua kelindan lori ayam maut selepas dipercayai merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa Norazeman, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan I, Mat Nuri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.26 pagi dan mendapati ketiga-tiga mangsa tersepit.

Menurut beliau, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Noraida yang merupakan suri rumah dan mempunyai lima orang anak berusia tujuh hingga 2l tahun itu memberitahu, jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lawa di sini.
Menurutnya yang tinggal di Gong Nangka, Pasir Puteh, sehingga sekarang dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

