RXZ Members 8.0: 'Datanglah ke Terengganu, tiada operasi 'pukat' tapi jangan buat perangai' - Polis

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu memberi jaminan keselamatan termasuk tiada operasi 'pukat memukat' terhadap lebih 100,000 peminat motosikal untuk berkumpul pada program RXZ Members 8.0 hujung bulan ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, bagaimanapun kelonggaran itu bukan tiket untuk peserta bermaharajalela kerana pihak berkuasa tidak akan berkompromi atau memberikan sebarang keistimewaan sekiranya mereka dikesan melanggar undang-undang jalan raya.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang tetap akan berjalan seperti biasa demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang acara itu berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos depan.
"Apa yang pasti tidak ada 'pukat', Kita mengalu-alukan mereka semua datang ke Terengganu tetapi dalam masa sama mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya.
"Tiada keistimewaan atau pengecualian. Kalau melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan. Jangan bimbang, penguatkuasaan tetap berjalan walaupun tiada operasi 'pukat'," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Khamis.
Mohd Khairi berkata, bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan melakukan aksi berbahaya, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan digerakkan sepanjang penganjuran program berskala besar itu.
Katanya, fokus utama pemantauan akan ditumpukan di kawasan jalan lurus yang sering menjadi 'lubuk' persinggahan peserta untuk menunjuk-nunjuk kehebatan jentera masing-masing seperti di Jalan Pantai Seberang Takir dan Jalan Pantai Teluk Ketapang.
"Kehadiran anggota di lokasi-lokasi strategik ini adalah sebagai langkah pencegahan awal kerana pihak polis sedia maklum ada segelintir peserta yang mungkin mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya termasuk melakukan aksi 'wheelie'.
"Selain itu, pihak polis juga akan meningkatkan kekerapan rondaan dengan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta kereta peronda (MPV) bagi memantau setiap kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi turut menasihatkan para peserta supaya memastikan motosikal masing-masing berada dalam keadaan baik, mempunyai lesen memandu yang sah, serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan termasuk penggunaan cermin sisi, ekzos standard dan nombor pendaftaran mengikut peraturan.
Beliau turut memberikan peringatan tegas agar Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak dijadikan litar lumba, selain melarang peserta daripada membuat bising di kawasan awam seperti hospital dan kawasan penginapan, serta tidak membawa barang terlarang ke negeri ini.
"Langkah berhati-hati ini diambil susulan rekod hitam penganjuran tahun lalu yang mencatatkan sebanyak dua kemalangan maut, dua kemalangan cedera parah dan tujuh kemalangan cedera ringan sepanjang program berlangsung," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa tindakan ketat yang diambil ini bukanlah bertujuan untuk menghukum, sebaliknya demi menjaga nyawa para peserta itu sendiri.
"Matlamat kita bukan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin saman tetapi memastikan semua peserta dapat datang ke Terengganu, menyertai program dan pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

