Presiden NGO ditahan SPRM, seleweng peruntukan dewan RM2 juta

KOTA KINABALU - Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng peruntukan pembinaan dewan berjumlah kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 10 pagi Selasa, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dengan menyeleweng peruntukan yang diperoleh dari Kementerian Kewangan untuk pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.
Suspek dipercayai telah mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan itu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
"Suspek akan dituduh Khamis ini di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
