Tawaran pakej pelancongan, upah lumayan perangkap keldai dadah

SHAH ALAM - Upah mencecah RM15,000 selain dijanjikan pakej pelancongan menjerat tujuh individu sebagai 'keldai' bagi menyeludup bunga ganja bernilai RM19.82 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Tangkapan secara berasingan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA bermula 11 hingga 17 Julai lalu.
Enam siri tangkapan itu berjaya menahan seorang wanita tempatan serta enam warga asing termasuk empat lelaki.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan pertama pada 11 Julai membabitkan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun ditahan dengan dua bagasi berisi 60 bungkusan plastik bunga ganja seberat anggaran 36 kilogram (kg) bernilai RM2.88 juta.
Menurutnya, pada 13 Julai, tiga siri tangkapan dilaksanakan berasingan membabitkan empat warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun.
"Lapan bagasi dijumpai mengandungi 213 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan berat mencecah 149.2 kg dengan nilai RM11.94 juta.

"Dua daripada tangkapan ini didapati positif dadah jenis THC," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, bagi kes kelima pada 14 Julai, Polis Bantuan MAHB telah mengesan dua bagasi di mesin pengimbas yang mencurigakan sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun di ruang menunggu pelepasan penerbangan.
Katanya, 60 bungkusan plastik bunga ganja seberat 31.2 kg dengan nilai RM2.5 juta telah dirampas bersama sitaan wang tunai asing 300 pound sterling dipercayai hasil pengedaran dadah.
Tambah Shazeli, seorang lagi suspek lelaki warga asing berusia 55 tahun berjaya diberkas pada 17 Julai dengan rampasan 60 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 31.4 kg bernilai RM2.51 juta.
"Polis turut menyita dua utas rantai, wang tunai RM250 serta wang tunai asing daripada suspek yang juga positif dadah jenis THC," ujarnya.
Menurut beliau, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia selain kes terbabit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
"Siasatan mendapati warga asing terbabit masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial. Ada yang masuk sejak awal Julai lepas dan sehari sebelum ditangkap selain mereka ini merupakan warga Eropah dan Asia.
"Kesemua tangkapan merupakan 'keldai dadah' dan upah diterima berbeza-beza. Ada upah dibayar RM6,000 sehingga RM15,000 bagi setiap trip," katanya.
Dedahnya, salah seorang suspek juga dipercayai sudah kali kedua melakukan kegiatan terbabit, manakala yang lain pertama kali.
"Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif dan terancang. Orang awam diingatkan tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi tanpa mengetahui isi kandungannya," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
