Tamim Dahri didakwa rosakkan objek suci agama Hindu

LANGKAWI - Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merosakkan objek suci agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Mac lalu.
Tamim Dahri, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa merosakkan objek suci agama Hindu iaitu tombak bercabang tiga atau 'soolam', dengan pengetahuan bahawa memijak objek itu adalah menghina agama Hindu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah, di sini antara 3.30 petang hingga 6.30 petang pada 8 Mac lalu.
Oleh demikian, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ain Nur Sofea Noridan memohon mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana berisiko melarikan diri, berdasarkan rekod perjalanan keluar masuk negara.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin memandangkan pertuduhan bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang boleh dijamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran pada setiap dua minggu.
Kes akan disebut semula pada 23 Ogos depan.
Terdahulu, Tamim Dahri dilihat memakai baju-T hitam ketika dibawa ke Mahkamah Langkawi dengan diiringi anggota polis sekitar jam 9 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

